ADIGURU KRAF ANYAMAN DAUN SAL
Allahyarhamah Ramlah binti Ismail
Nama : Allahyarhamah Ramlah binti Ismail
Bidang Kraf : Hasil Rimba
Adiguru Kraf : Anyaman Daun Sal
Negeri : Terengganu
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 1999
Beliau menghasilkan anyaman tudung saji yang dihias dengan pelbagai warna dan motif-motif seperti bunga cengkih, bunga pecah lapan dan tapak sulaiman
PENGENALAN
Pengayam daun sal yang terkenal iaitu Hajah Ramlah binti Ismail yang merupakan pengusaha bengkel anyaman hasil daripada daun sal.
Anyaman daun sal adalah antara kegiatan kemahiran kerja tangan yang diusahakan di sekitar Kampung Paka, Terengganu. Daun sal yang lembut lebih mudah diproses dan menghasilkan anyaman yang halus dan tidak mudah reput. Sebelum dianyam, daun sal diproses dan dikeringkan dahulu malah diwarnakan agar lebih menarik dan mengikut corak permintaan ramai.
Kemudian, daun sal dianyam menjadi tudung saji dan bakul-bakul kecil bagi kegunaan keperluan harian. Antara motif-motif menarik rekaan beliau seperti Bunga Cengkih, Bunga Pecah Lapan dan Tapak Sulaiman.
Beliau menghasilkan anyaman tudung saji yang dihias dengan pelbagai warna serta garapan kreativiti dan ilham Hajah Ramlah menyerlahkan penampilan setiap produk anyamannya. Hajah Ramlah membina keyakinan bahawa hasil kerja tangan ini mampu untuk dimajukan.
PENCAPAIAN
Berpegang kepada keyakinan diri, beliau berusaha menerokai bidang kemahiran anyaman daun sal bersama-sama jiran dengan mengusahakan bengkel anyaman daun sal yang menjanjikan tambahan pendapatan keluarga. Hasil daripada bakat seni dan semangat yang kental, beliau telah berjaya apabila hasil kerja tangan beliau dan rakan-rakan berjaya dipasarkan ke sekitar Terengganu dan Kuala Lumpur. Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Anyaman pada tahun 1999. Hajah Ramlah Binti Ismail telah meninggal dunia pada 2002.