Adiguru Kraf Sulaman Kelingkan
Nik Rahimah binti Nik Idris
Nama : Nik Rahimah binti Nik Idris
Bidang Kraf : Textile
Adiguru Kraf : Sulaman Kelingkan
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 22 September 1941
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 2013
Kepakaran beliau dalam menghasilkan sulaman kelingkan telah membawa beliau tinggal di Istana Kelantan apabila Al-Marhumah Raja Perempuan Zainab II telah melantik beliau sebagai tukang jahit Istana
Nik Rahimah binti Nik Idris dilahirkan pada 22 September 1941 di Kota Bharu, Kelantan. Penglibatan beliau dalam sulaman kelingkan bermula seawal usia 15 tahun dengan mewarisi kemahiran ini daripada nenek saudaranya. Beliau sangat mahir menghasilkan corak sulaman kelingkan pada selendang dan peralatan singgahsana diraja. Oleh itu, beliau telah dilantik sebagai penyulam istana oleh Almarhumah Tengku Zainab Almarhum Tengku Muhammad Petra. Beliau juga berkemahiran dalam menghasilkan pelbagai corak seperti tekatan paku-paku, sulaman ayak, jahitan manik, jahitan pakaian, jahitan bunga dan kaitan (jarum satu dan jarum dua).
Nik Rahimah binti Nik Idris was born on 22 September 1941 in Kota Bharu, Kelantan. She inherited the kelingkan embroidery skills from her grandaunt and was involved in the craft as early as at the age of 15. She is expert in producing kelingkan embroidery patterns on scarves and royal throne accessories. Thus was assigned as the palace embroiderer by Almarhumah Tengku Zainab Almarhum Tengku Muhammad Petra. She is also skilled in producing various patterns such as paku-paku (fern leaves) embroidery, ayak embroidery, beading, cloths stitching, flower stitching and knitting (crochet and knit).
PENGENALAN
Puan Hajah Nik Rahimah Binti Nik Idris dilahirkan pada 22 September 1941 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau berkemahiran dalam bidang kraf sulaman kelingkam yang dipelajari daripada warisan ibunya sejak tahun 1956 dan mula bergiat aktif dalam bidang jahitan dan sulaman ketika berumur 15 tahun.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Sepanjang penglibatan dalam Seni Kraf Sulaman, beliau tidak pernah jemu untuk meneruskan dan mengekalkan produk kraf warisan ini. Cucu dan cicit beliau membantu mencari ilham dalam meningkatkan teknik-teknik yang terkini mengenai bidang sulaman. Beliau amat menitikberatkan seni kraf sulaman kelingkam kerana ia adalah warisan seni diraja yang diwarisi sejak dari nenek moyang beliau lagi.
Antara corak-corak kemahiran yang beliau hasilkan ialah sulaman kelingkam, tekatan paku-paku, sulaman ayak, jahitan manik, jahitan pakaian, smoking (jahitan bunga), kaitan (jarum satu dan jarum dua) dan peralatan singgah sana Diraja Kelantan. Peralatan yang digunakan untuk menyiapkan sulaman kelingkam ini antaranya seperti pemidang kayu, kelingkam, jarum, benang mentah, tali pengikat, kain regang, kain penutup dan mentol lampu.
PENCAPAIAN
Pada tahun 1960an, beliau mula berkhidmat sebagai tukang jahit untuk Raja Perempuan Kelantan iaitu Al-Marhumah Raja Perempuan Zainab II sehinggalah baginda mangkat. Ketika berkhidmat bersama baginda, Puan Hajah Nik Rahimah sentiasa mengikuti baginda dan pernah tinggal di istana Negara sewaktu baginda menjadi Raja Permaisuri Agong. Beliau juga menjadi tukang jahit terutamanya menjahit manik dan labuci untuk pakaian Permaisuri Kelantan seterusnya iaitu Permaisuri Tengku Anis.
Di atas kesungguhan dan dedikasi Puan Hajah Nik Rahimah berjuang dalam mempertahankan seni kraf sulaman kelingkam ini, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Sulaman pada tahun 2013. Beliau juga telah menerima pengiktirafan daripada “1st Ceremony For Commemoration Of The Asian Human Leaving Treasures” di Manila, Filipina pada tahun 2014.





