HASIL RIMBA
Ukiran Dinding
SEJARAH
Tenun Pahang dikatakan telah bertapak di bumi Pahang sejak abad ke 17 Masihi. Tenunan ini dipercayai berasal dari tanah Bugis dan diperkenalkan oleh seorang pembesar Bugis bernama Keraing Aji yang juga dikenali sebagai Tok Tuan. Kerajinan menenun ini juga berkemungkinan telah sampai lebih awal dari masa tersebut berdasarkan catatan W. Linehan yang menyatakan kedatangan Tok Tuan telah memperbaiki kemahiran menenun sutera.
Usaha untuk memajukan perusahaan ini telah mendapat perhatian oleh pegawai Inggeris seperti Cecil Wray, Residen Inggeris di Pahang. Beliau telah mengadakan rancangan untuk menggalakkan perusahaan bertenun dan menekat bagi golongan wanita di Pekan.
Rancangan Cecil Wray ini mendapat perhatian Tengku Puan Meriam dan baginda telah mengambil alih pengelolaan rancangan tersebut. Kehadiran Tengku Puan Meriam dalam senario perusahaan tenun Pahang ketika itu telah menyemarakkan perusahaan tersebut. Perusahaan yang pada mulanya tertumpu di Kampung Mengkasar itu telah menular ke kampung-kampung di sekitarnya.
Baginda semasa menjadi Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang telah berusaha menghantar kain-kain sutera Tenun Pahang kepada kekanda baginda, Sultan Ibrahim, Sultan Johor ketika itu. Baginda Sultan Ibrahim telah menggunakan kain sutera Tenun Pahang sebagai hadiah kepada pembesar-pembesar dan sahabat handai baginda.
Usaha untuk mengembangkan perusahaan ini giat diteruskan oleh Kerajaan Negeri dan juga penglibatan RIDA (Rural Industry Development Authority) atau kini lebih dikenali sebagai MARA (Majlis Amanah Rakyat). RIDA ketika itu telah menghantar penenun-penenun muda di Pulau Keladi ke Kuala Terengganu untuk mendapatkan pengalaman mempercepat cara menenun. Penglibatan RIDA juga telah membawa kepada pembinaan sebuah pusat bertenun di Pulau Keladi.
Perkembangan perusahaan tenun ini mendapat sentuhan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak, yang telah memberi mandat kepada Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) pada tahun 1974 untuk memulihkan perusahaan Tenun Pahang. Usaha ini telah membawa kepada penubuhan Pusat Latihan Tenun Pahang di Bandar Ibam, Pahang. Usaha membangunkan Tenun Pahang selepas itu dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.