TOKOH KRAF NEGARA

ADIGURU KRAF TENUNAN SONGKET

Hajah Habibah binti Zikri

Nama : Hajah Habibah binti Zikri
Bidang Kraf : Tekstil
Adiguru Kraf : Tenunan Songket
Negeri : Terengganu
Tarikh Lahir : 5 Februari 1948
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 2005
Lantikan Tokoh Kraf Negara : Tahun 2007

Beliau adalah perintis yang mempelbagaikan penggunaan warna benang emas serta mengaplikasikan teknik tenunan ikat pua dalam tenunan songket


LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Puan Hajah Habibah binti Zikri dilahirkan di Sungai Petani, Kedah pada 5 Februari 1948. Beliau mendapat pendidikan secara formal dalam bidang tekstil di Fakulti Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi MARA yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA. Selepas menamatkan pengajian pada tahun 1974, beliau berkhidmat di Kraftangan Malaysia sebagai pereka dan diberi tanggungjawab menghasilkan rekaan baru kraf tekstil tempatan. Di sinilah beliau terus mendalami bidang kraf tenunan khususnya kraf songket dan terlibat secara langsung dalam proses dan kerja-kerja menyongket dari awal sehingga ke akhir. Sebagai pereka, beliau sering turun padang melihat dan berjumpa sendiri pengusaha-pengusaha kraf songket. Di hatinya telah tersemat azam bahawa suatu hari nanti beliau akan menjadi pengusaha kraf songket yang berjaya. Setelah sembilan tahun berkhidmat sebagai pereka, beliau meletakkan jawatan di Kraftangan Malaysia dan meneruskan cita-citanya untuk mengusahakan perusahaan kraf tenunan songket dengan sokongan daripada suami serta keluarga.

Hajah Habibah telah mencetuskan inovasi dalam penghasilan pelbagai reka corak kontemporari namun masih menyerlahkan dan megekalkan ciri-ciri tradisi. Beliau menggunakan teknik tenun ikat dan pua dalam kraf tenunan songket yang dihasilkan serta mempelbagaikan penggunaan warna benang emas. Selain itu, beliau membuat kajian ke atas reka corak tradisi pada kain songket lama seperti motif tampuk manggis, bunga pedada, bunga pecah empat dan pucuk rebung yang kemudiannya digubah dan digarap dalam bentuk lakaran baru mengikut kreativiti beliau. Kepakaran dan kreativiti beliau dalam seni kraf tenunan songket juga telah mempelbagaikan penggunaan tekstil songket agar tidak terhad kepada pakaian tradisi malah digunakan dalam hiasan dalaman. Fabrik  songket dijadikan sebagai produk kraf kemasan lembut seperti alas meja, alas pinggan serta sarung kusyen. Inovasi reka corak beliau menjadikan kraf tenunan songket diterima sebagai hiasan art décor setaraf dengan seni lukisan antarabangsa.

Sepanjang penglibatan Hajah Habibah dalam perusahaan kraf songket, pelbagai pencapaian dan anugerah telah diperolehinya. Kain songket ciptaan beliau dijadikan sebagai cenderamata negara kepada Queen Elizabeth sempena Persidangan CHOGM di Kuala Lumpur pada 1988. Beliau turut menghasilkan songket untuk dijadikan Jubah Canselor, Naib Canselor dan Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Hasil tangan beliau turut dijadikan sebagai hiasan eksklusif Istana Negara, Istana Melawati, Istana Johor, pejabat-pejabat MATRADE di luar negara, Muzium Kesenian Islam, bangunan UMNO Kuala Lumpur, hotel-hotel dan resort ternama di seluruh negara. Selain itu, beliau pernah memenangi Anugerah Rekaan Terbaik dalam pertandingan WICITRA anjuran Kraftangan Malaysia pada tahun 1984, Anugerah – The Best Traditional Textile ASEAN di Jakarta pada tahun 1987 dan Anugerah Seni Tampak pada tahun 2002. Kehalusan songket beliau turut dijadikan fesyen eksklusif oleh pereka fesyen dan butik tempatan seperti  YBhg. Dato’ Sri Bernard Chandran, YBhg. Datuk Radzuan Radziwill, butik Kapar Couture dan Embun untuk diperagakan sempena Minggu Fesyen di London dan Bali selain dijadikan setem pos kenang-kenangan sempena pelancaran Songket Seni Warisan Agong bersama-sama Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3) pada tahun 2004.

Sumbangan dan kejayaan Hajah Habibah sepanjang penglibatannya dalam seni kraf tenunan songket telah meningkatkan martabat songket warisan negara. Sebagai menghargai kerja keras dan kemahiran Hajah Habibah, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenunan Songket pada tahun 2005 dan Kerajaan Malaysia melalui Kraftangan Malaysia turut mengiktiraf beliau sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 2007.


Galeri