ADIGURU KRAF TEMBIKAR TEMBELING

Noriah Binti Mohd Ali

Nama : Noriah binti Mohd Ali
Bidang Kraf  : Hasil Tanah
Adiguru Kraf : Tembikar Tembeling
Negeri : Pahang
Tarikh Lahir  : 19 Oktober 1934
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 2006

Acuan motif yang digunakan pada tembikar dibuat sendiri oleh beliau dengan menggunakan kayu yang keras


PENGENALAN

Puan Noriah binti Mohd Ali dilahirkan pada 19 Oktober 1934 di Kampung Pasir Durian dan ibu bapanya juga adalah anak jati di kampung ini. Daripada 6 orang adik beradiknya, hanya beliau dan adik perempuannya yang masih hidup. Semasa usia kanak-kanaknya, beliau tidak pernah bersekolah dan hanya memperolehi pendidikan agama secara tidak formal di samping membantu ibu bapanya di rumah.

Beliau merupakan salah seorang pengusaha kraf Tembikar Tembeling atau Terenang di sekitar Pasir Durian, yang terletak di mukim Kuala Tembeling, kira-kira 16 kilometer dari pekan Jerantut, Pahang. Kampung ini boleh dihubungi dengan menggunakan jalan air dan mengambil masa selama 15 minit jika menggunakan bot dari jeti Kuala Tembeling. Dipercayai suatu ketika dahulu tembikar tembeling ini mendapat pengaruh raja, dan kebanyakan pembuat tembikar ini diberi perlindungan serta tinggal di kawasan istana. Di antara produk tembikar Tembeling ini digunakan untuk memasak atau menyimpan makanan dan air minuman.

Tanah liat yang digunakan untuk membuat tembikar dijemur panas matahari sebelum direndam dalam air selama lebih kurang tiga hari. Proses merendam ini dilakukan supaya benda asing seperti sampah, batu dan sebagainya dapat dibuang dan tanah yang berketul-ketul tadi dapat dihancurkan dengan baik. Tanah liat diuli, dibentuk dengan reka corak kemahiran tangan pembuat tembikar.

Pembuat Tembikar Terenang mengadaptasi alam semula jadi dalam menghasilkan sesuatu rekacorak antaranya corak bulan sabit, tulang ikan dan pucuk rebung. Sebelum dibakar, tembikar Tembeling ini perlu dikeringkan di panas matahari. Proses pengeringan yang sempurna menghasilkan tembikar yang tahan lama dan tidak mudah pecah.

Beliau yang berkahwin ketika berusia 21 tahun telah mewarisi kemahiran pembuatan tembikar Tembeling daripada ibu mertuanya, Sepian binti Mat Amin. Hasil perkahwinannya, beliau dikurniakan tujuh orang anak iaitu empat orang lelaki dan tiga orang perempuan yang kini menetap di sekitar negeri Pahang.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Keistimewaan produk Kraf Tembikar Tembeling ialah keunikan tanah liatnya yang halus dan hanya terdapat di kampung tersebut. Sejak dahulu lagi, para pembuat tembikar di Kampung Pasir Durian mengambil tanah liat dari tanah wakaf seluas enam ekar. Terdapat pelbagai motif corak yang digunakan pada permukaan tembikar seperti Bunga Sambar, Tampok Manggis, Tapak Pelanduk, Tapak Itik, Pucuk Rebung, Bunga Kelopak, Belalang Cucuk, Bunga Pecah Empat dan Bunga Kipas.

Acuan motif ini dibuat sendiri oleh Puan Noriah dengan menggunakan kayu selain menggunakan batu untuk mengilatkan permukaan tembikar. Peralatan-peralatan lain yang digunakan ialah batu untuk mengilatkan permukaan serta bilah kayu ukir untuk membuat corak silang. Produk tembikar yang dihasilkan oleh beliau terdapat dalam pelbagai saiz dan pelbagai jenis produk tembikar seperti Terenang, Belanga, Pasu, Bekas Buah dan pelbagai produk tembikar dengan rekaan lama dan terkini mengikut permintaan dari para pelanggannya.

Selain untuk kegunaan memasak atau menyimpan air, produk Tembikar Tembeling ini boleh dijadikan perhiasan dan kegunaan dalam perubatan tradisional. Kebiasaannya, beliau mampu menyiapkan satu set Tembikar Terenang (beserta penutup dan tapak) dalam masa 20 hari manakala untuk sebiji mangkuk yang ringkas boleh disiapkan dalam masa satu hingga dua hari.

PENGIKTIRAFAN

Puan Noriah memberi komitmen sepenuhnya kepada bidang pembuatan tembikar ini. Berdasarkan pengalaman, beliau pernah mencurahkan ilmu kepada beberapa orang anak muda yang berminat untuk mempelajari pembuatan produk kraf tradisional ini. Namun hanya seorang atau dua saja yang betul-betul konsisten dan meneruskan perusahaan ini.

Kemahiran seni kreativiti beliau ini sering membawanya ke serata negeri seperti Perlis, Perak dan Pekan, Pahang untuk mengadakan demonstrasi pembuatan produk tembikar tembeling ini. Tempahan yang sering diterimanya adalah daripada pelbagai jabatan kerajaan, muzium-muzium dan penduduk sekitar negeri Pahang. Selain tempahan, beliau juga sering menerima lawatan daripada pengunjung dari dalam atau luar negara ke bengkelnya. Bagi menghargai ketekunan dan usaha gigih beliau, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembikar Tembeling pada tahun 2006.

Sebuah bengkel yang dilengkapi ruang pameran juga telah dibina dengan hasil bantuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang pada Januari 2008 yang terletak bersebelahan dengan kediaman beliau. Ini merupakan inisiatif yang disediakan oleh pihak Kraftangan Malaysia dalam membantu beliau meneruskan perusahaan pembuatan tembikar tembeling secara tradisional ini.

GALERI


Video