TOKOH KRAF NEGARA

ADIGURU KRAF UKIRAN HALUS

Norhaiza bin Noordin

Nama : Norhaiza bin Noordin
Bidang Kraf  : Hasil Rimba
Adiguru Kraf : Ukiran Halus
Negeri : Terengganu
Tarikh Lahir  : 20 Februari 1963
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 2011
Lantikan Tokoh Kraf Negara : Tahun 2022

Untuk menjadi murid yang berjaya perlulah belajar dengan guru yang mursyid akan tetapi murid itu mesti seorang yang pintar


LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Encik Norhaiza bin Noordin merupakan seorang pengukir kayu tradisional yang terkenal bukan sahaja di Negeri Terengganu malahan sehingga ke peringkat antarabangsa. Berdasarkan minat yang mendalam dalam bidang ukiran kayu beliau telah mempelajari dan mendalami bidang ini dengan berguru kepada seramai 6 orang pengukir kayu tersohor di Negeri Kelantan dan Terengganu iaitu Allahyarham Encik Wan Su (Tokoh Seni Negara), Allahyarham Tengku Ibrahim (Tokoh Kraf Negara), Encik Wan Mustafa, Allahyarham Rahman Long, Encik Latif Long dan Allahyarham Encik Nik Rashiddin.

Pada masa kini lenggok dan gaya ukiran beliau telah pun dikenali serta mempunyai identiti tersendiri. Hasil karya ukiran kayu yang dihasilkan beliau sering mendapat tempat di hati peminat ukiran daripada orang-orang kenamaan, pihak istana, jabatan dan agensi serta orang perseorangan untuk diabadikan di kediaman dan bangunan.

Justeru kehalusan dan ketelitian dalam setiap hasil ukirannya, tempahan yang diterimanya kini bukan hanya dari dalam negara malahan juga dari luar negara. Berikut merupakan di antara tempahan – tempahan ukiran yang pernah dihasilkannnya:

i.     Panel ukiran kayu ayat kursi Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya;
ii.    Ukiran kayu peti ibadat Sultan Brunei;
iii.   Hiasan ukiran kayu di Istana Hinggap Putrajaya;
iv.   Hiasan ukiran kayu di kediaman Perdana Menteri di Putrajaya;
v.   Hiasan ukiran kayu di Dewan Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford;
vi.   15 unit ukiran hulu keris untuk Exco Kerajaan Negeri Terengganu;
vii.    2 bilah keris untuk Yang di-Pertuan Agong; dan
viii.   Cokmar untuk Universiti Malaysia Kelantan;

Bagi memastikan perusahaan ukiran kayu yang diusahakan dapat bertahan dan berjalan dengan baik, beliau telah membahagikan pasarannya kepada 3 segmen dengan menubuhkan:

i.     Syarikat Seni Ukir Bakawali bagi menumpukan kepada ukiran yang mempunyai nilai seni serta kehalusan yang tinggi serta eksklusif.;
ii.    Syarikat Bakawali House Of Arts bagi menumpukan kepada ukiran yang mempunyai permintaan yang tinggi, senang untuk dipasarkan dan mempunyai harga yang berpatutan; dan
iii.   Syarikat Tunjang Bakawali Sdn Bhd bagi menumpukan kepada projek-projek ukiran berskala besar yang melibatkan tender/ sebutharga.;

Hasil daripada strategi penumpuan kepada segmen pasaran khusus ini, beliau telah berjaya mendapat tempahan ukiran dari dalam dan luar negara serta mampu bertahan sehingga ke hari ini. Karya-karya ukiran yang dihasilkan oleh Encik Norhaiza telah menjadi ikutan penggemar seni ukiran melayu pada masa kini. Pelajar-pelajar dari institusi pengajian tinggi serta jabatan dan agensi sering berkunjung ke bengkel yang diusahakan oleh beliau sebagai rujukan dan kajian.

Pada masa kini seni ukiran kayu yang diusahakannya turut disokong dengan penggunaan mesin moden terutamanya kerja-kerja awalan seperti membelah, memotong dan membentuk kayu. Inovasi penggunaan peralatan ini dapat mempercepatkan proses ukiran kayu yang dihasilkan. Namun begitu, ukiran yang dihasilkan dengan bantuan penggunaan peralatan mesin moden, beliau masih mengutamakan kualiti dan kehalusan seni ukiran yang dihasilkan.

GALERI


VIDEO