Adiguru Kraf Pandai Besi Parang Ilang
Johnny a/k Barangan
Nama :Johnny a/k Barangan
Bidang Kraf : Hasil Logam
Adiguru Kraf : Pandai Besi Parang Ilang
Negeri : Sarawak
Tarikh Lahir : 15 Disember 1974
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 2012
Keunikan hasil kerja tangan beliau turut mendapat perhatian daripada pihak Istana Brunei
PENGENALAN
Encik Johnny anak Barangan merupakan anak kelahiran Sibu, Sarawak yang dilahirkan pada 14 Disember 1974. Beliau merupakan pembuat parang ilang atau ‘mandau’ sejak remaja lagi dan masih aktif sehingga kini. Beliau mewarisi pengalaman dan kemahiran dalam pembuatan senjata unik ini daripada bapanya.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Kemahiran beliau dalam pembuatan parang ilang ini telah mendapat tempat di kalangan orang ramai dan turut menerima tempahan dari luar negeri Sarawak. Kebiasaannya tempahan parang ilang dijadikan sebagai cenderamata bagi orang kenamaan dan juga untuk kegunaan sendiri.
Bahan utama bagi menghasilkan parang ilang adalah logam yang diambil daripada bilah gergaji rantai atau besi spring daripada sistem suspensi van atau lori. Hulu parang diperbuat daripada kayu atau tanduk rusa manakala sarung parang menggunakan pelbagai jenis kayu. Hulu dan sarung parang diikat kemas menggunakan tali rotan. Bahagian ikatan pada sarung parang digelar sebagai pusat bedus, manakala pada pengikat di hulu parang digelar sebagai Temurak. Setiap bilah parang yang dihasilkan memerlukan masa selama dua hari untuk disiapkan.
PENCAPAIAN DAN ANUGERAH
Pelbagai anugerah telah beliau kecapi sepanjang penglibatan beliau di dalam bidang ini. Pada tahun 2011, beliau telah menerima pengiktirafan anugerah penghargaan khas Tukang Ulung sempena Hari Kraf Kebangsaan. Beliau juga sering memenangi pertandingan membuat parang di peringkat negeri dan kebangsaan. Antaranya beliau telah memenangi tempat pertama pertandingan kraf terbaik kategori logam sempena Hari Kraf Kebangsaan 2012. Pada tahun 2012, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Pahang Ilang bagi menghargai sumbangannya.