Adiguru Kraf Pandai Besi Parang Bajau Samah
Jamawid bin Haji Soh
Nama : Jamawid bin Haji Soh
Bidang Kraf : Hasil Logam
Adiguru Kraf : Pandai Besi Parang Bajau Samah
Negeri : Sabah
Tarikh Lahir : 2 Mac 1969
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 2012
Beliau juga dikenali sebagai pakar parang dan digelar guru oleh pengusaha Parang Kota Belud
PENGENALAN
Encik Jamawid Bin Haji Soh telah dilahirkan pada 2 Mac 1969 di Kampung Siasai Jaya, Kota Belud, Sabah dalam keluarga seni pertukangan berasaskan besi iaitu pembuatan senjata Parang Bajau Samah Kota Belud. Beliau mendapat kepakaran dan kemahiran pertukangan daripada ayahnya iaitu Haji Soh Bin Juh yang telah menjadikan kerja pertukangan pembuatan parang sebagai sumber pendapatan utama sejak dahulu lagi. Beliau berkecimpung dalam bidang ukiran Hulu Parang dan mata Parang Bajau sejak berumur 18 tahun hingga sekarang.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Dengan kesungguhan dalam mengusahakan produk parang Bajau, beliau telah membuka sebuah syarikat sendiri atas nama Arahjaya Enterprise. Penubuhan syarikat ini bagi memudahkan beliau menguruskan kerjayanya secara sistematik. Di bengkel beliau, terdapat kemudahan lengkap bagi yang digunakan sepenuhnya untuk mengeluarkan produk parang. Beliau juga menjadi pakar rujuk dalam bidang kraf senjata sama ada kepada pengusaha senjata, jabatan lain, kementerian atau NGO. Terdapat beberapa jenis produk Parang Bajau seperti Parang Kayang, Parang Kayu, Pidah, pisau dan pedang. Beliau mempunyai kreativiti dan juga inovatif dalam pembuatan Parang Bajau. Beliau sentiasa mempunyai idea yang kreatif dalam menghasilkan pelbagai motif rekaan untuk produk Parang Bajau.
PENCAPAIAN
Hasil karya dan reka cipta parang beliau sering dijadikan sebagai cenderamata oleh tetamu kehormat luar dan dalam negara. Produk beliau juga pernah diberikan kepada Tuan Yang Terutama (TYT) di negeri Sabah sebagai cenderamata. Atas kesungguhan beliau dalam menghasilkan seni kraf Parang Bajau yang berterusan, beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Parang Bajau oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2012.