TOKOH KRAF NEGARA
Hajah Zainab @ Ngah binti Mamat
Nama : Hajah Zainab @ Ngah binti Mamat
Bidang Kraf : Tekstil
Negeri : Terengganu
Tarikh Lahir : 22 Disember 1942
Lantikan Tokoh Kraf Negara : Tahun 2002
Beliau telah mengilhamkan ‘Terengganu Songket’ yang merupakan sebuah galeri khusus bagi menghimpunkan koleksi tenunan songket Terengganu yang ditempatkan di kediamannya
LATAR BELAKANG PENGLIBATAN
Puan Hajah Zainab @ Ngah binti Mamat atau lebih dikenali dengan panggilan Mak Ngah dilahirkan di Kuala Terengganu, Terengganu pada tahun 1942. Sejak turun temurun, budaya dan minat menenun telah sebati di dalam kehidupan dan darah daging keluarga beliau. Ketika kecil beliau sering melihat ahli keluarga dan masyarakat setempat menenun, jika berpeluang beliau akan cuba untuk naik ke atas kek tenun dan melakonkan proses menenun. Apabila tamat persekolahan, beliau bertekad menceburi bidang tenunan serta menolak tawaran untuk menjadi seorang guru dan jururawat.
Pembabitan awal Mak Ngah dalam bidang seni tenunan songket pada mulanya tidak mendapat sokongan daripada ibunya. Walau bagaimanapun, setelah melihat kesungguhan Mak Ngah, ibunya merestui dan turut membimbing beliau sehingga berkemahiran menggambarkan rekaan motif diminda untuk terus ditenun pada kain serta menghasilkan tenunan corak yang sukar dan mencabar. Beliau turut dibimbing oleh nenek sebelah ibunya iaitu Allahyarhamah Kalsom binti Abdullah dan mempelajari lebih mendalam keseluruhan proses tenunan antaranya proses mewarna benang, menerai benang, menganing, menyapuk benang, mengarat benang, menyongket, menenun dan mengubung. Kemahiran yang ada terus dimantapkan dengan mempelajari kaedah dan kemahiran khusus bagi penghasilan songket yang halus dan berkualiti tinggi. Beliau turut mengekalkan penggunaan motif-motif tradisional sebagai reka corak pada kain songket yang dihasilkan seperti motif Bunga Tanjung dan Corak Berdiri. Antara motif-motif popular yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah seperti Bunga Cengkih, Bunga Tanjung, Bunga Bintang, Motif Tapak Sulaiman, Motif Bunga Raya, Motif Pucuk Rebung, Motif Awan Larat, Bunga Teratai dan Tapak Manggis. Antara produk kraf tenunan songket yang dihasilkan beliau ialah samping songket, sarung songket dan selendang serta set lengkap pengantin. Beliau turut mempelbagaikan reka bentuk produk yang berasaskan songket seperti alas meja, alas kusyen, hiasan dinding, beg tangan, hiasan kepala (cekak dan reben).
Produk kraf tenunan songket Mak Ngah turut mendapat perhatian dan pengiktirafan pihak istana. Beliau pernah mendapat tempahan daripada Istana Negara untuk menghasilkan pakaian pegawai yang bertugas di istana dan mendapat tempahan daripada Istana Maziah di Terengganu untuk meghasilkan pakaian songket bagi upacara keramaian dan majlis di istana. Selain itu, beliau turut menerima tempahan produk kraf tenunan songket daripada negara luar seperti dari Negara Brunei untuk menghasilkan persalinan songket bagi pasangan pengantin diraja Brunei.
Kecintaan terhadap bidang seni tenunan mendorong Mak Ngah membuka Galeri Terengganu Songket yang merupakan mercu tanda dan lambang kejayaan beliau sebagai penenun yang disegani. Galeri tersebut menghimpunkan koleksi hasil kraf tenunan songket Terengganu untuk tatapan pengunjung daripada dalam dan luar negara selain memberi didikan dan berkongsi maklumat dengan pengunjung berkaitan seni kraf tenunan songket yang tersohor di Negeri Terengganu.
Beliau sentiasa menjadi pakar rujuk di dalam kraf tenunan songket dan Kraftangan Malaysia turut pernah melantik beliau sebagai Ahli Panel Program Bicara Tokoh pada tahun 2011. Sepanjang penglibatan Mak Ngah dalam bidang seni kraf tenunan songket, pelbagai pengiktirafan dan anugerah pernah diterima oleh beliau. Dengan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki beliau, Kerajaan Malaysia melalui Kraftangan Malaysia telah mengiktiraf beliau sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 2002.