Adiguru Kraf Tenunan Songket
Hajah Kelthom binti Haji Hussin
Nama : Hajah Kelthom binti Haji Hussin
Bidang Kraf : Tekstil
Adiguru Kraf : Tenunan Songket
Negeri : Kelantan
Tarikh Lahir : 24 Mei 1946
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 2014
Beliau masih mengekalkan penggunaan peralatan tradisional untuk menghasilkan songket bagi memastikan setiap hasil tenunan mencapai standard yang telah ditetapkan
PENGENALAN
Puan Hajah Kelthom Binti Haji Hussin meneruskan perusahaan songket yang diwarisi daripada ibunya iaitu Che Minah Binti Haji Omar. Che Minah bergiat aktif dalam perusahaan membuat songket sehingga berhasil membina sebuah perusahaan yang dikenali sebagai Che Minah Songket.
Beliau adalah seorang penggiat dalam menghasilkan tenunan songket yang terkenal di Kelantan. Beliau dilahirkan pada 24 Mei 1948 di Kota Bharu, Kelantan. Kain tenunan songket beliau sangat terkenal di Kelantan. Beliau telah berumahtangga dan mempunyai lima orang anak. Beliau telah menubuhkan syarikat Che Minah Songket bagi mempergiatkan lagi usaha dalam menghasilkan kain songket yang mengandungi pelbagai warna dan rekaan. Beliau telah mula bergiat aktif dalam pembuatan kain songket sejak dari tahun 1956 lagi hasil usaha daripada ilmu yang diwarisi daripada ibu beliau.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Puan Hajah Kelthom banyak menerima tempahan membuat songket daripada orang persendirian yang terdiri daripada kalangan kerabat diraja dan kenamaan. Tempahan songket yang dibuat adalah yang diminta secara khusus iaitu mengikut reka corak yang dibawa khas oleh pelanggan beliau sendiri.
Corak eksklusif yang diguna khas oleh golongan kerabat diraja seperti corak bunga ‘kore’ atau kukuran dan bunga padi. Beliau pernah menerima tempahan daripada DYMM Sultan Negeri Kelantan serta DYMM Raja Negeri Perlis. Kain songket dihasilkan dan tempahan masih diterima secara berterusan untuk dipakai/digayakan khasnya semasa majlis-majlis Istiadat Diraja Kelantan.Tempahan songket hasil keluaran syarikat beliau juga turut menerima tempahan daripada Negara Brunei Darul Salam.
Bagi tempahan pelanggan biasa beliau menggunakan reka corak seperti bunga dalam kandang, bunga penuh dan bunga tabur. Menurut Hajah Kelthom terdapat lebih kurang sepuluh jenis reka corak yang digunakan dalam menghasilkan songket. Reka corak songket juga digunakan keatas pembuatan pada corak kain sampin dan pakaian.
PENCAPAIAN
Puan Hajah Kelthom pernah mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Wanita Kelantan serta menerima penghargaan Seri Cempaka (Pewaris Industri Kraf). Anugerah disampaikan sempena sambutan Hari Wanita 2001. Pada tahun 2014 beliau telah dianugerahkan sebagai Adiguru Kraf Tenunan Songket oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Kelebihan atau kemahiran menenun songket yang dimiliki oleh Hjh Kelthom telah diwariskan kepada anak-anak saudara beliau. Anak saudara beliau dilihat sangat berminat meneruskan perusahaan menenun songket.