ADIGURU KRAF ANYAMAN RIBU-RIBU
Farnie binti Loboi
Nama : Farnie binti Loboi
Bidang Kraf : Hasil Rimba
Adiguru Kraf : Anyaman Ribu-Ribu
Negeri : Sabah
Tarikh Lahir : 12 Februari 1970
Lantikan Pertama Adiguru Kraf : Tahun 2025
Berpengalaman selama 33 tahun dalam seni kraf anyaman ribu-ribu, beliau memiliki kepakaran dan kemahiran teknik anyaman seperti tulang belut, mata punai dan sulaman manik dengan olahan pelbagai motif geometri tradisional Rungus. Keunikan karyanya jelas terserlah melalui gabungan kreatif anyaman ribu-ribu dan sulaman manik dalam penghasilan produk seperti beg, mangkuk tingkat, alas pinggan, pasu dan bakul.
PENGENALAN
Farnie binti Loboi dilahirkan pada 12 Februari 1970 di Kampung Timug, Matunggong, Kudat, Sabah. Bakat dan kreativitinya menyerlah sejak di bangku sekolah apabila beliau mempelajari seni kraf anyaman ribu-ribu daripada ibunya, Puan Monguramung Gakup. Beliau merupakan nadi utama dan ketua pengajar anyaman ribu-ribu kepada komuniti pengeluaran produk anyaman ribu-ribu khususnya di Kampung Timug, Matunggong, Kudat, Sabah. Komitmen beliau dalam pelbagai aktiviti pembangunan produk, demonstrasi kraf, menjadi tenaga pengajar serta terlibat dalam aktiviti pengembangan ilmu.

