ADIGURU KRAF TEKATAN
Allahyarhamah Ainatishah Binti Bilal Din
Nama : Allahyarhamah Ainatishah binti Bilal Din
Bidang Kraf : Tekstil
Adiguru Kraf : Tekatan
Negeri : Perak
Tahun Kelahiran : 1941
Lantikan Adiguru Kraf: Tahun 1987
Antara reka corak dan motif yang menjadi pilihan beliau ialah pucuk rebung, siku keluang, mata punai, tulang belut, sisik ikan dan teknik jalinan satu
PENGENALAN
Seni tekatan benang emas merupakan kemahiran kerja tangan warisan yang sinonim dengan masyarakat di daerah Kuala Kangsar Perak. Salah seorang tukang tekat yang terkenal dan disegani di negeri Perak adalah Allahyarhamah Puan Ainatisah binti Bilal Din.
Beliau dilahirkan pada tahun 1941 dalam kalangan keluarga seni yang mempunyai kemahiran menekat. Telah menjadi amalan setiap keluarga tradisional ketika itu anak gadis tidak digalakkan belajar di sekolah. Namun demikian, setiap ibu bapa memastikan anak gadis mereka mempunyai asas pendidikan agama dan rumah tangga termasuk kemahiran kerja tangan sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Oleh yang demikian setiap anak gadis yang mencapai usia remaja diajar mengurus rumah tangga di samping belajar menjahit, menganyam, menenun, menyulam atau menekat.
Demikian jugalah pengalaman Ainatishah. Beliau belajar menekat daripada ibu dan neneknya sehingga lama kelamaan seni kemahiran ini menjadi sumber pendapatan beliau. Tempahan diterima bukan sahaja dari masyarakat setempat malah juga daripada kerabat diraja dan pembesar istana. Motif-motif flora seperti bunga kekwa, anggerik dan asam batu ditekat penuh teliti di atas kain baldu terpilih lalu menghasilkan produk yang cantik dan penuh berseni.
Kehalusan hasil tekatan beliau menjadi sebutan. Beliau turut menurunkan ilmu kemahiran kepada generasi muda yang berminat dalam seni tekatan. Bagi menghargai sumbangan dan kesungguhan beliau mempertahankan seni kemahiran menekat, pada tahun 1987 Kraftangan Malaysia telah melantik Allahyarhamah Puan Ainatisah binti Bilal Din sebagai Adiguru Kraf Tekatan.