ADIGURU KRAF GERUS

Allahyarham Sheikh Omar bin Sheikh Ibrahim

Nama : Allahyarham Sheikh Omar bin Sheikh Ibrahim
Bidang Kraf  : Tekstil
Adiguru Kraf : Gerus
Negeri : Pahang
Tahun Kelahiran : 1902
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 1989

Beliau sering mendapat tempahan daripada keluarga Diraja, pembesar negara serta orang perseorangan.


PENGENALAN

Sheikh Omar bin Sheikh Ibrahim merupakan tokoh kain gerus yang giat menjalankan perusahaan menggerus. Beliau dilahirkan di kampung Mangkasar, Pekan, Pahang. Ayahnya seorang tokoh gerus yang terkenal. Sheikh Omar mendapat pendidikan rendah di sekolah Melayu Pekan sehingga tamat darjah lima.

Beliau mula meminati menggerus kain sejak daripada kecil lagi setelah namun setelah meningkat dewasa, ayahnya mula memberi tugas untuk membantu menggerus kain.

Apabila mendapat tempahan yang banyak, Sheikh Omar dan ayahnya bergilir-gilir menggerus kain dan beliau akhirnya mengambil alih tugas ayahnya setelah ayahnya meninggal dunia.

Oleh kerana ketekunannya, beliau mendapat kepercayaan daripada pihak istana dan orang perseorangan bagi menyediakan kain bergerus.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Tempahan kain gerus diperoleh daripada golongan istana dan orang kenamaan yang sering membuat tempahan untuk upacara hari kebesaran seperti menyambut hari raya dan juga hari-hari keputeraan sultan.

Selain mahir menggerus kain, Sheikh Omar juga seorang tukang kayu yang mahir. Peralatan menggerus dibuat sendiri dengan bantuan anaknya. Seni menggerus ini diwarisi oleh dua orang anak lelakinya iaitu Sheikh Hussain dan Sheikh Aziz.

Sheikh Omar sering dijemput mengadakan demonstrasi di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Muzium Pekan Pahang pada tahun 1986 serta sering mendapat liputan media kerana kemahirannya sebagai penggerus kain.

PENCAPAIAN

Bagi menghargai jasa dan sumbangan yang beliau berikan, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Kain Gerus pada tahun 1989. Beliau telah meninggal dunia pada 19 April 1996.

Semasa hayatnya, beliau sentiasa berusaha memperkenal dan mempertahankan seni kemahiran warisan yang semakin dilupakan ini.