Adiguru Kraf Blok Batik

Allahyarham Ibrahim bin Mohamad

Nama : Allahyarham Ibrahim bin Mohamad
Bidang Kraf : Hasil Rimba
Adiguru Kraf : Blok Batik
Negeri : Terengganu
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 1994

Industri batik di negara ini dipercayai bermula dengan penghasilan teknik terap atau cetak

Dilahirkan dan menetap di Kampung Padang, Terengganu, Allahyarham Ibrahim bin Mohamad merupakan tokoh pengukir blok batik yang tersohor di negara ini. Memiliki kepakaran dan kemahiran tinggi dalam penghasilan blok batik kayu dan logam dengan olahan pelbagai motif flora dan alam semula jadi yang diinspirasikan daripada persekitaran sekeliling. Keunikan karyanya terserlah melalui penghasilan reka corak blok batik yang halus, kreatif dan menjadi pilihan dalam kalangan pengusaha batik. Beliau turut mengadaptasi penggunaan kepingan logam seperti tembaga dalam pembuatan blok batik bagi menghasilkan corak yang lebih terperinci dan tahan lama, tanpa mengabaikan penghasilan blok batik kayu sebagai usaha memelihara warisan kraf tradisional. Ketekunan, kreativiti dan sumbangan beliau dalam memartabatkan seni kraf blok batik telah diiktiraf apabila dilantik sebagai Adiguru Kraf Blok Batik pada tahun 1994. Beliau meninggal dunia pada 2 Januari 2003.

 

 

Born and raised in Kampung Padang, Terengganu, the late Ibrahim bin Mohamad was a renowned batik block craftsman in Malaysia. He possessed extensive expertise and skills in the production of wooden and metal batik blocks, incorporating a variety of floral and nature-inspired motifs drawn from his surrounding environment. The uniqueness of his work was reflected in the creation of intricate, creative batik block designs that were highly sought after by batik producers. He also adapted the use of metal sheets, particularly copper, in batik block making to produce more detailed and durable patterns, while continuing to create traditional wooden batik blocks as part of his commitment to preserving the nation’s craft heritage. His dedication, creativity, and significant contributions to the advancement of batik block craftsmanship were recognised when he was appointed as a Master Craftsman of Block Batik in 1994. He passed away on 2 January 2003.


PENGENALAN

Industri batik di negara ini dipercayai bermula dengan penghasilan teknik terap atau cetak. Awalnya bungkah-bungkah kayu digunakan dalam pembuatan batik terap. Motif-motif ringkas seperti bunga-bunga atau daun-daun diukir di atas bungkah kayu lembut. Bungkah ini dikenali sebagai sarang bunga atau blok dicelup ke dalam bahan pewarna dan kemudian diterap di atas kain putih.

Di antara tukang pembuat blok batik yang ternama adalah Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad yang menetap di Kampung Padang, Terengganu. Hubungan akrab dengan alam sekeliling menjadi inspirasi pada setiap ukiran blok batik yang beliau hasilkan. Beliau melakar reka corak yang diilhamkan dan kemudian mengukir penuh teliti di atas kayu lembut terpilih.

Setiap blok batik rekaan Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad menampilkan reka corak motif yang cantik dan disenangi oleh pembuat-pembuat batik. Selain daripada kreativiti, kesungguhan dan ketabahan merupakan faktor kejayaan Ibrahim sebagai pengukir blok batik.

Penggunaan kepingan logam seperti tembaga mula menggantikan blok kayu. Reka corak yang lebih halus dan daya tahan yang lebih lama menyebabkan permintaan ke atas blok kayu semakin berkurangan. Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad tidak ketinggalan mengaplikasikan kemahiran yang beliau miliki ke atas kepingan logam yang lebih mudah dan halus hasilnya.

Sungguhpun demikian, semasa hayatnya beliau terus membuat blok batik kayu sebagai usaha mengekal dan menyanjungi kemahiran kraf warisan. Bagi menghargai kesungguhannya menghidupkan seni warisan ini, pada tahun 1994 Kraftangan Malaysia telah melantik Allahyarham Encik Ibrahim bin Mohamad sebagai Adiguru Kraf Blok Batik. Namun begitu beliau telah meninggal dunia pada 2 Januari 2003. Semoga rohnya dicucuri rahmatNya dan ditempatkan di kalangan golongan yang beriman.

GALERI

Video