Glosari Kraf

Acuan

Bekas yang mempunyai bentuk tertentu untuk dituangkan cecair slip bertujuan membentuk produk seramik.

Abrasive Wheel

Roda pengempelas (kertas pasir)

Abstrak

Motif yang tidak lagi menyerupai bentuk asal. Tidak berupa atau bersifat kebendaan, tidak dapat dilihat, dirasa dengan pancaindera. Tidak konkrit atau maujud, niskala, mujarad.

Acuan

Cetakan, tempat tuangan, lembaga, pola, teladan (kalimat), kelebut, contoh, susunan

Acuan Kedua

Acuan yang dihasilkan daripada acuan pertama iaitu bahagian yang kedua

Acuan Pertama

Acuan yang dihasilkan bagi mendapat bentuk model iaitu bahagian yang pertama

Adeg

Motif gambaran pamor yang berbentuk garisan membujur bermula dari pangkal ke hujung mata senjata tradisional seperti keris dan tombak. Terdapat pelbagai jenis pamor adeg antaranya termasuklah adeg merambu, adeg telu dan lain-lain.

Agak

Sejenis bakul masyarakat Iban yang digunakan untuk membawa barang.

Alang Badan Kek

Bahagian kek yang berupa kayu melintang di bahagian badan kek untuk menggantung tali gantung karat dan tali gantung jentera.

Alang Hujung Kek

Bahagian kek yang berupa kayu melintang di bahagian hujung kek untuk menggantung tali gantung pasung.

Allu

Alat menumbuk tanah dan pasir yang diperbuat daripada kayu belian dalam proses membuat lapohan  oleh masyarakat Bajau. Alu.

Aluminium

Logam ringan yang rupanya seperti timah putih

Ambung

Bakul.

Anak Anian

Bahagian tapak anian yang berupa kayu bulat berukuran kira-kira 20 cm tinggi yang dipasang pada bahagian tapak anian untuk menyusun benang lungsin. kayu anian.

Anak Geligin

Alat bantu membuat karat yang digunakan untuk menyengkang geligin semasa mengarat.

Anak Gedum

Alat yang berbentuk seakan-akan cendawan yang diperbuat daripada tanah yang telah dibakar, digunakan untuk menekan dan membentuk jasad tempaan dari arah dalam.

Anak Papan Gulung

Bahagian papan gulung yang terdiri daripada sepasang kayu bulat yang mengapit sisi kiri dan sisi kanan ibu papan gulung untuk menggulung benang lungsin.

Andas

Sejenis landasan atau alas yang diperbuat daripada sekeping besi tebal untuk digunakan sebagai tempat mengetuk, menitik dan menempa besi yang panas bagi menghasilkan senjata dan perkakasan besi seperti parang dan mata cangkul.

Angkat Belira

Proses menegakkan belira besar dicelah benang lungsin sewaktu menenun.

Angkat Bunga

lih. angkat butang.

Angkat Butang

Proses mengambil dan memilih benang lungsin berdasarkan corak tertentu. angkat bunga.

Angklung

Sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada buluh dan mempunyai ukuran dan saiz yang berbeza untuk menghasilkan bunyi yang berlainan.

Angkup

Alat yang digunakan untuk mengukur garis pusat tembikar

Anian

Alat untuk memungut dan menyusun benang lungsin mengikut panjang dan lebar kain yang dikehendaki.

Anyaman Ghadas

Anyaman biasa yang tidak mempunyai kelarai dan corak yang digunakan lebih menekankan kepada penggunaan susunan warna

Anyaman Gila

Teknik menganyam yang berasaskan enam helai atau bilah mengkuang yang berbentuk isometrik (mempunyai ukuran yang sama) untuk membentuk mata anyaman heksagon (corak anyaman yang berbentuk enam segi), lazimnya digunakan untuk membuat bakul rombong, ketumbu atau tudung saji.

Apit Gigi

Bahagian jentera yang diperbuat daripada buluh atau kayu yang terletak di antara gigi jentera dan keng.

Artifak

Barang-barang buatan manusia peninggalan sesuatu zaman;terutamanya alat perkakas, senjata dan matawang

Awan Larat

Motif corak bersambung-sambung yang mempunyai kaitan dengan unsur tumbuh-tumbuhan yang terdapat pada ukiran dan kerawang. Motif ini diilhamkan daripada imej awan berarak yang bergumpal dan terapung oleh tiupan angin.

Awet

Satu kaedah untuk memanjangkan jangka hayat rotan.

Ayak

Alat yang mempunyai jaring halus, digunakan untuk mengayak (menapis) serbuk tanah liat dan gerlis.

Ayakan

Ayak, tapis

Badan

Bahagian paling besar penggunaan anyaman pada sesebuah produk, contohnya badan bakul.

Badan Kain

Bahagian terbesar kain tenun, terutama kain songket, yang mengandungi corak utama.

Badan Kek

Bahagian kek yang terdiri daripada alang badan kek, belira besar, karat dan jentera.

Badik

Pisau, rencong, belati, sangkor, golok kecil, keris tumbuk lada, parang, pedang, kelewang.

Badu

Pakaian tradisi suku kaum lelaki etnik Rungus yang terletak di daerah Kudat, Sabah. Ianya ditenun secara tradisional dan menggunakan hasil kerja tangan.

Bahan Mentah

Bahan asas yang digunakan untuk membuat sesuatu produk. Contohnya bahan mentah produk seramik ialah samada tanah liat atau plaster of paris.

Bahan Penguat

Campuran tanah liat dan air, dicampur hingga sebati dan menjadi pekat, tujuan utama sebagal perekat.

Bahasa Alam

Sistem lambang bunyi yang dipakai sebagai alat perhubungan satu kelompok manusia; bunyi terdapat di langit dan bumi.

Bakul Siya

Bakul bertingkat yang diperbuat daripada buluh, kayu dan dibaluti dengan kertas tebal atau kulit. Bakul ini kebiasaannya digunakan sebagai bekas hantaran atau hadiah. Beras, daging, kain, kuih muih dan berbagai-bagai barangan yang digunakan semasa majlis perkahwinan diisi ke dalam bakul siya.

Baloh

Tapak untuk ikatan batu permata.

Bar Pemutar

Diperbuat daripada besi pejal, berbentuk seakan tiang diguna pakai semasa melarik model, salah satu dari komponen mesin larik secara melintang.

Batik Blok

Batik yang dihasilkan dengan menggunakan blok tembaga (kepingan tembaga dan zink yang dicantum untuk membentuk corak) sebagai alat penerap

Batik Canting

Dikenali sebagai batik lukis merupakan salah satu seni kemahiran kerja tangan yang unik, kreatif dan popular di Malaysia. lih. Batik ‘painting’.

Batik Ela

Corak dan motif batik ela lebih bebas daripada ciri-ciri tradisional dengan menggunakan warna-warna yang lebih ceria dan menarik. Kain batik ini dijual secara ela mengikut kehendak pengguna.

Batik 'Painting'

Dalam Bahasa Melayu dikenali dengan pelbagai istilah sama ada batik tulis, batik conteng ataupun batik lukis. Mengikut Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu Jilid 1 (1994), batik ini dihasilkan dengan menggunakan canting sebagai alat bagi menerapkan campuran lilin pada kain yang hendak dicorakkan. Oleh sebab proses menerapkan campuran lilin seolah-olah proses menulis, batik jenis ini dikenali sebagai batik tulis.

Batik Pelangi

Batik ini menggunakan teknik ikat celup yang kemudiannya dikenali sebagai teknik pelangi. Bahagian yang diikat dan disembat adalah kalis air dan akan menghasilkan ragam hiasan pelangi yang unik dan menarik.

Batik Sarung

Diperbuat sama ada menggunakan teknik blok (terap), canting atau cetakan skrin. Rupa bentuk batik sarung terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepala, badan dan kaki (gigi) kain.

Batik Skrin

Batik jenis ini merujuk kepada teknik lakaran corak dan terapan warna dilakukan di atas skrin yang diperbuat daripada poliester yang diregang di atas pemidang.

Batik Tanah Liat

Merupakan sejenis batik alternatif yang menggunakan tanah liat supaya berfungsi sebagai bahan penghalang warna seperti lilin untuk
menghasilkan corak ke permukaan fabrik. Bahan yang diaplikasikan ke atas fabrik ini mempunyai dua teknik iaitu teknik terap dan teknik sutera saring (silk screen).

Batu Luru

Alat tempaan iaitu batu sungai atau granit yang licin, digunakan untuk melicin dan mengilatkan permukaan tempaan.

Batu Seremban

Alat permainan tradisional yang dimainkan secara individu atau berkumpulan iaitu seramai dua atau empat orang atau lebih. permainan ini dimainkan dengan menggunakan batu yang dikenali sebagai ‘buah’ seperti biji getah ataupun ketul-ketulan objek lain yang berbentuk bulat dan memerlukan lima higga tujuh butir untuk dimainkan.

Bebola

Sesuatu benda yang bentuknya seperti bola; bola-bola. Bebola tanah liat:  Tanah liat yang dibentuk bulat seperti bola.

Bekarah (Sbh)

Alat untuk melilit benang berkanji yang kering supaya memudahkan benang tersebut digulung pada lebeda.

Bekas Barang Kemas

Tempat untuk menyimpan emas dan perak.

Bekas Bunga

Tempat menyimpan bunga.

Bekas Telur

Tempat untuk meletak telur (biasa digunakan ketika majlis perkahwinan)

Belebas Anian

Bahagian anian yang berupa kayu panjang yang menghubungkan kedua-dua tapak anian.

Belebas Kek

Bahagian kerangka kek yang terdiri daripada kayu yang memanjang menghubungkan tiang kek, sepasang di atas dan sepasang di bawah.

Belebas Pesa

Bahagian pesa yang terdiri daripada sebatang kayu yang menghubungkan tiang pesa.

Belira

lih. belira besar

Belira Angkat Butang

lih. belira besar

Belira Besar

Bahagian badan kek yang berupa kayu panjang nipis yang digunakan untuk membilang gigi belalang, mengangkat benang butang dan menguak benang lungsin supaya tegang dan menjadi laluan torak atau cuban. belira, belira angkat butang

Belira Kecil

Bahagian hujung kek yang berupa kayu panjang nipis yang digunakan untuk menanda benang lungsin sewaktu membilang gigi belalang.

Benang Angkat Butang

lih. butang

Benang Asing

Benang daripada nilon, guni, jerami dan lain-lain yang digunakan sebagai alat bantu menenun seperti membuat karat, mengikat butang, mengikat sumbi dan genu serta menjalin karat.

Benang Butang

lih. butang

Benang Lungsin

Benang tenun yang dipasang memanjang dari kepala kek ke hujung kek melalui jentera dan karat untuk menghasilkan kain tenun. Dalam tenun Iranun, lungsin dipasang pada saulayak yang kemudiannya digantung pada paguta.

Benang Pakan

Benang tenun yang melintang dan dilalukan di antara benang lungsin dari kiri ke kanan atau sebaliknya dengan sama ada menggunakan torak, cuban atau tangan untuk menghasilkan kain tenun. pakan.

Benang Tenun

Bahan tenun daripada kapas, sutera, poliester, emas, perak dan lain-lain yang ditenun menjadi kain.

Bench Drill

Alat untuk menebuk lubang.

Bendasing

Bahan asing dalam kuantiti kecil, didapati dalam bahan mentah utama yang boleh menjejaskan mutu bahan mentah.

Bentuk Geometri

Motif geometri dikaitkan dengan motif yang abstrak, kasual dan keras yang memiliki ukuran, sifat-sifat hubungan titik, garis, sudut permukaan dan bongkah.

Bentuk Kubah

Bentuk melengkung separuh bulatan.

Beranda

Ruang terbuka yang berbumbung dan berlantai dan terdapat di bahagian hadapan atau tepi ibu rumah. Ruang ini dijadikan sebagai tempat beristirahat dan bersantai.

Berpusar

Berkisar, berpusing, berputar.

Besi

Logam keras, waja.

Besi Kokok

Lingkaran besi nipis dan leper seperti sebentuk gelang yang digunakan untuk mengikis dan meratakan bahagian dalam tembikar.

Bibir

Bahagian tepi mulut tembikar

Bibitan Aram (Sbh)

Bahagian alat tenun Iranun yang berupa kayu berukuran 121 cm panjang yang digunakan untuk menekat corak dan fungsinya sama dengan lidi songket dalam tenun kek biasa.

Bibitan Pakan (Sbh)

Bahagian alat tenun Iranun yang berupa kayu nibung berukuran 121 cm panjang, tempat melilitkan benang pakan pertama semasa menenun.

Bidang (Swk)

Merupakan kain sarung yang digunakan sebagai pakaian harian wanita Iban dan dipakai ketika upacara tertentu atau perayaan. Kain sarung ini sempit dan panjangnya sehingga paras lutut. Biasanya diperbuat daripada dua helai kain yang dicantum dan dihiasi reka corak geometrik serta berwarna-warni dengan menggabungkan penggunaan benang emas atau perak.

Biking

Bibir, tepi tembikar.

Bilah Sisip

lih. lidi songket.

Bilang Gigi Belalang

Proses membilang benang lungsin untuk menentukan tekatan sama ada turun satu naik tiga (tekat tiga) atau turun satu naik lima (tekat lima).

Bilang Gigi Jentera

Proses mengira gigi jentera untuk menentukan jumlah benang yang akan diani. Contonya jika gigi jentera berjumlah 1200, bilangan benang yang akan dipungut berjumlah 60 kali bagi 20 peleting.

Binasaren (Sbh)

Proses awet benang dengan menggunakan kanji nasi untuk menjadikan benang tahan warna.

Bindu

Sejenis alat yang digunakan untuk melarik kayu, gading atau lain-lain.

Bingkai

Struktur rangka daripada kayu atau logam yang dibuat di sekeliling kepingan objek leper dan nipis seperti lukisan dan gambar supaya  menjadi lebih kuat dan mudah dikendalikan.

Bintalah (Sbh)

Alat aksesori tenun Iranun, daripada kayu berbentuk segi empat, berukuran 0.5m x 1m, yang digunakan untuk menegangkan benang apabila hendak dikanji semasa menyikat.

Biskut

Jasad tempaan yang sudah dibakar sekali dan belum atau tidak akan digerlis.

Blok Penerap

Sejenis peralatan utama dalam menghasilkan batik blok. Alat ini diperbuat dari kepingan tembaga dan logam yang lembut dan mudah dibentuk dengan reka corak dan motif yang halus dan cantik. Dikenali juga sebagai sarang bunga.

Blunger Machine

Mesin campur aduk tanah liat untuk dijadikan cecair.

Boggo'

Perahu lama yang dijadikan bekas untuk menghancurkan tanah.

Bohe' Tahe'

Air Laut.

Bongkah

Ketulan bersaiz besar.

Borax

Serbuk yang digunakan untuk mencegah pengoksidaan logam ketika proses peleburan dan penempaan bahan logam.

Buah Kelambu

Sejenis hiasan yang bertekat benang emas yang digantung sebagai perhiasan pada kelambu pengantin tradisional Melayu.

Buah Loket

Perhiasan pada leher orang perempuan yang digantung pada rantai leher diperbuat daripada emas, intan dll.

Bubu

Sejenis alat penangkap ikan yang diperbuat daripada buluh atau rotan yang dianyam. Reka bentuk seperti bakul yang membolehkan ikan masuk dan terperangkap di dalamnya. Lukah.

Bubungen (Sbh)

Bahagian alat tenun Iranun yang dibuat daripada buluh sumbiling, panjangnya 1m dan fungsinya sama dengan belira besar dalam kek biasa iaitu untuk memisahkan benang lungsin atas dan bawah supaya mudah dimasukkan benang pakan.

Budaya

Bahagian alat tenun Iranun yang dibuat daripada buluh sumbiling, panjangnya 1m dan fungsinya sama dengan belira besar dalam kek biasa iaitu untuk memisahkan benang lungsin atas dan bawah supaya mudah dimasukkan benang pakan.

Buffing Machine

Mesin untuk mengilatkan bahan logam terdiri daripada rouge dan tripoli.

Buluh Colek

lih. jarum colek.

Bunga Cengkih

Motif tembikar berunsur tumbuhan berbentuk bunga cengkih atau lima pecahan kelopak, bunga pecah empat (corak)

Bunga Keduduk

Motif berunsur tumbuhan berbentuk bunga keduduk (corak)

Bunga Lawang

Motif tembikar berunsur tumbuhan berbentuk bunga lawang atau lima pechan kelopak potongan intan (corak)

Bunga Mawar

Motif berunsur tumbuhan berbentuk bunga mawar yang telah diabstrakkan (corak).

Bunga Orkid

Motif berunsur tumbuhan berbentuk bunga orkid yang telah diabstrakkan (corak)

Bunga Padi

Motif tembikar berunsur tumbuhan berbentuk Tingkat potongan padi (corak)

Bunga Pecah Empat

Motif tembikar berunsur tumbuhan yang berbentuk bunga pecah empat (corak)

Bunga Raya

Motif kontemporari berunsur tumbuhan yang berbentuk bunga raya yang telah diabstrakkan (corak)

Bunga Seri Pagi

Motif kontemporari berunsur tumbuhan yang berbentuk bunga seri pagi yang telah diabstrakkan (corak)

Bunga Tanjung

Motif tembikar berunsur tumbuhan berbentuk bunga tanjung lapan pecahan kelopak iaitu empat kelopak dibahagian luar dan empat kelopak di bahagian dalam yang lebih kecil (corak)

Busana Tradisional

Pakaian tradisi yang lengkap lagi indah buatannya.

Butang

Simpulan benang asing yang menggantikan lidi songket sebagai tanda corak. benang angkat butang, benang butang, karat butang.

Cakar Ayam

Motif tembikar berunsur cakaran ayam di atas tanah dan diabstrakkan menjadi corak

Caman

Bahagian badan kek yang terdiri daripada ruas buluh yang bertali berfungsi sebagai takal karat.

Cambium

Lapisan sel di dalam akar dan batang pokok yang berfungsi menghasilkan tisu-tisu baharu untuk pertumbuhan dan tumbesaran pokok. Kambium.

Canang

Sejenis alat bunyi-bunyian dalam kumpulan gong yang diperbuat daripada logam. Dahulu canang atau gong kecil ini dipalu bertujuan memberitahu sesuatu atau untuk memanggil orang dan sebagainya.

Cantuman

Perihal mencantumkan bahagian-bahagian yang berlainan menjadi satu.

Canting

Merupakan peralatan penting dalam proses menghasilkan batik lukis atau batik canting. Sebatang canting terdiri daripada bahagian kepala atau periuk kecil yang diperbuat daripada tembaga manakala pemegangnya daripada kayu atau buluh.

Capan

Sejenis alat yang diperbuat daripada rotan yang digunakan sebagai penampi.

Caping

Caping merupakan sejenis aksesori pakaian tradisional yang berfungsi menutup bahagian kemaluan kanak-kanak lelaki dan perempuan. Berbentuk daun sirih dan diperbuat daripada logam seperti emas, perak, tembaga kuning dan merah, kulit kerang, tempurung ataupun kayu.

Celup

Proses mewarnakan benang kapas atau benang sutera dengan merendamkannya ke dalam larutan pewarna.

Cembul

Bekas kecil yang diperbuat daripada logam perak, tembaga atau kayu yang digunakan untuk mengisi gambir, pinang, tembakau dan sebagainya. Cembul menjadi pelengkap kepada tepak sirih.

Cendawan

Motif kontemporari berunsur tumbuhan berbentuk cendawan dan diabstrakkan menjadi corak.

Center Punch

Alat untuk membuat tanda sebagai titik pusat

Cerpa

Terpa, terkam.

Chasing Hammer

Tukul pemahat atau tukul ukiran.

Cior

Tilam kecil atau bantal berbentuk empat segi. Sarungnya diperbuat daripada kain baldu bertekat dengan benang emas bermotifkan flora. Ianya digunakan sebagai alas duduk pengantin atau pembesar istana.

Cokmar

Merupakan alat kebesaran institusi pemerintahan beraja yang digunakan sejak dahulu lagi. Alat ini diukir dan ditempa di atas kepingan emas atau perak. Antara reka corak yang sering menjadi ragam hias pada ukiran cokmar adalah seperti bunga ketumbit, cempaka, teratai, cengkih dan sulur kacang. Sekarang ia turut dijadikan sebagai peralatan rasmi dalam istiadat konvokesyen di institusi pengajian tinggi.

Congkak

Permainan tradisional yang diperbuat daripada kayu merbau, keruing, balau, rambutan dan nangka. Turut dihiasi dengan pelbagai jenis ukiran yng diilhamkan daripada bentuk unggas seperti burung dan itik. Terdapat juga congkak yang diperbuat daripada bahan logam dan tanah liat.

Corak

Ragam, pola, suri, contoh, gambar (pada kain model), gambar (pada tenunan), patrun, bunga-bunga, warna, ragam, sisik, dondon, rupa, tampan, jenis, gaya, sifat, hurat, urat, garis-garis, awan, ukiran, langgam, lagu, motif, bentuk yang terbentuk.Gabungan satu atau lebih motif yang direka dengan mengikut elemen-elemen seni seperti garisan, saiz, keseimbangan, harmoni dan komposisi

Corak Stailisasi

Corak gayaan yang diolah berasaskan interpretasi daripada bentuk asal dari aspek warna dan bentuk. Ciri asas masih dikekalkan walaupun berlaku perubahan daripada bentuk asal.

Cruicible

Mangkuk pijar yang digunakan untuk proses peleburan logam.

Cuban

Alat daripada buluh yang berfungsi sebagai jarum yang diisi dengan benang emas atau benang berwarna sebagai benang pakan untuk menenun corak bertabur, corak melintang dan tepi kain.

Cucuk Sanggul

Alat runcing tajam (seperti jarum) penyemat rambut supaya tidak terurai.

Daging Kain

Jalinan tenun.

Dagu

Bahagian bawah jentera yang berupa papan beralur yang menjadi tapak gigi jentera.

Dalang

Dikenali juga sebagai Tok Dalang tukang cerita dalam permainan atau persembahan wayang kulit. Di samping bercerita beliau menggerak-gerakkan patung wayang kulit yang menjadi watak dalam persembahan teater tradisional ini.

Damar

Bahan kemasan tempa yang berupa getah keras, digunakan sebagai bahan kalis air. Bahan ini diperoleh dari beberapa jenis pokok (damar laut, damar batu dan damar daging).

Dandong

Sejenis kain yang ditenun menggunakan teknik ikat sebagai kain selendang yang dipakai kaum lelaki Iban. Juga digunakan sebagai pembungkus barang-barang persembahan dalam upacara tertentu.

Dapi (Sbh)

Bahagian alat tenun Iranun yang berupa tali pinggang yang dibuat daripada upih pinang yang dipasang pada dua batang kayu berukuran 30 cm sebagai penahan apabila menginjak pasiga supaya benang lungsin tegang.

Darwin

lih. ruing.

Daun Budi

Sejenis daun berbentuk empat segi yang biasa terdapat di negeri Kedah.

Daun Rahat

Bahagian rahat daun yang berbentuk jejari.

Daun Ruing

Bahagian ruing yang berbentuk jejari yang dibuat daripada buluh, kayu dan sebagainya.

Dawai Daun Rahat

Bahagian daun rahat yang terdiri daripada dawai yang menghubungkan daun rahat dan membentuk poligon.

Dawai Pemotong

Sejenis perkakas yang digunakan untuk memotong tanah liat atau memisahkan bahagian yang melekat di atas mesin lemparan alin

Dawai Tali Kelindan

Bahagian daun rahat yang berupa dawai yang menghubungkan pasangan daun rahat.

Dokoh

Pedaka, perhiasan leher, loket, aguk, buah kalung.

Doming Block

Alat yang digunakan untuk membentuk kepingan logam menjadi separuh bulat.

Draw Plate

Alat untuk membentuk dawai dari bersaiz besar hingga kecil

Dylon

Sejenis bahan pewarna; jenis pelbagai guna, yang digunakan untuk mewarna rotan dengan kaedah rendam rebus rotan pulur.

Eco-print

Merupakan salah satu teknik batik alternatif dibawah bidang kraf tekstil. Teknik eco-print menggunakan tumbuh-tumbuhan seperti dedaun, kulit kayu dan akar. Corak dan warnanya mesra alam tanpa bahan kimia.

Embekar (Sbh)

Proses menggulung benang dari berakah ke lebeda.

Emery Paper

Kertas pasir.

Estetika

Cabang falsafah yang berkaitan dengan prinsip keindahan dan citarasa seni.

Estetik

Keindahan atau penghargaan terhadap keindahan terutamanya dalam bidang seni.

Filligree

Kerawang logam

Gadang

Nyiru atau bekas seakan dulang berbentuk bulat dihasilkan daripada anyaman buluh atau rotan dan digunakan untuk menampi.

Gambus

Sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada tiga jenis kayu iaitu sesenduk, seraya dan akasia dengan menggunakan teknik cantuman dan ukiran tebuk tembus. Alat ini dimainkan bagi mengiringi muzik Melayu seperti zapin, ghazal, inang dan joget.

Gamelan

Merupakan himpunan alat muzik yang terdiri daripada gong agung, gong sawokan, gendang ibu, gendang anak, saron pekin,saron baron, gambang serta kenong.

Gandar Rahat

Bahagian rahat yang terdiri daripada sebatang kayu atau nibung bulat yang menjadi paksi rahat.

Gandar Ruing

Bahagian ruing yang terdiri daripada sebatang kayu atau nibung bulat yang menjadi paksi ruing.

Gandik

Raut wajah diri daripada sebilah keris letaknya di atas dagu ganja. Ada gandik berukir ada juga yang polos atau rata.

Gasing

Sejenis alat permainan tradisional yang diperbuat daripada kayu kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang. Manakali tali gasing pula menggunakan tali nilon.

Gayaan

Cara mengolah atau mempersembahkan sesuatu, membentukkan dan mencorakkan.

Gazebo

Pondok kecil yang dibina tanpa dinding di tepi rumah untuk berehat . Bahan yang digunakan untuk membina gazebo biasanya berasaskan kayu keras seperti cengal, meranti, dan balau. Kayu jenis ini menjadi pilihan kerana kayunya berkualiti dan mampu bertahan lama.

Gedombak

Sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada kayu pokok nangka. Bahagian permukaan atas gedombak dilitupi dengan kulit lembu atau kulit kambing. Bunyi alat ini dikeluarkan melalui ketukan atau memukul permukaan menggunakan tangan. Alat muzik ini dimainkan secara berkumpulan bagi mengiringi persembahan wayang kulit dan tarian tradisional.

Geduk

Sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada kayu nangka, sena atau kayu merbau. Alat ini mempunyai dua bahagian permukaan gendang yang dilitupi dengan kulit kerbau, lembu atau kambing dan dimainkan dengan menggunakan sepasang pemalu kayu.

Gegelung Regang

Bahagian hujung kek yang berupa gegelung tali yang diikatkan pada pasung dan menjadi pemegang kayu regang pasung.

Geligin

Bahagian karat yang berupa kayu nibung yang digunakan untuk mengapit dan meregangkan benang karat. Satu karat mempunyai dua pasang geligin. Geligin Panjang.

Geligin Panjang

lih. geligin.

Gendang

Sejenis alat muzik diperbuat daripada kayu bulat panjang berongga dan direntangkan dengan kulit yang ditegangkan.

Genu

Bahagian gigi jentera berupa dua pasang batang langkap yang mengapit bahagian atas dan bawah gigi jentera dan diikat dengan ikat bena.

Geometri

Sifat-sifat hubungan titik, garis, sudut, permukaan dan bongkah.

Gerak

Bahagian atas jentera yang berupa papan beralur yang menjadi kepala gigi jentera.

Gergaji Penggeser

Alat untuk membentuk permukaan kayu atau bahan yang lembut.

Gergaji

Alat yang bergerigi pada matanya untuk memotong kayu.

Gerlis

Lapisan cecair yang disapukan nipis pada permukaan produk seperti tembikar yang akan menjadi keras dan berkilat apabila produk tersebut dibakar.

Gerudi

Sejenis alat untuk membuat lubang pada kayu dan lain-lain, penggerek, penebuk lubang, gerimit.

Gerus

Kaedah tradisional untuk melicinkan dan memadatkan kain supaya kelihatan halus dan berkilat.

Gigi Belalang

Benang lungsin yang telah dibilang untuk menentukan tekat tiga atau tekat lima.

Gigi Gadang

Gigi jentera halus yang ke-6 hingga ke-20, di kiri dan kanan jentera yang menjadi laluan tiga urat benang lungsin bagi setiap antara gigi tersebut. Istilah ini bergantung pada teknik tenun kain, biasanya dalam teknik tenun halus tidak diamalkan.

Gigi Jentera

Bahagian jentera yang terdiri daripada bilah langkap yang kasar dan halus yang disusun seperti sikat pada alur gerak dan dagu sikat.

Gigi Tepi

Gigi jentera yang kasar, lima di kanan dan lima di kiri jentera, yang menjadi laluan lapan urat benang lungsin bagi setiap antara gigi tersebut.

Goggles

Alat keselamatan untuk melindungi mata.

Gubal

Bahagian kayu yang lembut di antara kulit dengan teras.

Guris

Membentuk garisan halus yang dibuat di atas permukaan bahan bagi menghasilkan corak.

Gurisan

Garisan halus yang dibuat di atas permukaan tanah liat bagi menghasilkan corak.

Gusung

Pasir.

Hubung Tindas

Proses menyambung benang pakan atau benang lungsin yang putus.

Hujung Kek

Bahagian kek yang terdiri daripada belira kecil, alang hujung kek, pasung, papan gulung, tiang kek, kayu regang kek, kayu regang pasung, tali regang pasung dan tali regang kek.

Hulu

Tangkai pemegang keris, pisau. pemegang.

Hulu Senjata

Merupakan bahagian senjata yang mempunyai sifatnya yang tersendiri. Fungsi utamanya ialah sebagai pemegang senjata serta dibentuk mengikut genggaman cengkaman tangan.

Ibu Papan Gulung

Bahagian papan gulung yang berupa papan yang beralur di bahagian tepi tempat anak papan gulung.

Idea

Perancangan yang tersusun dalam fikiran.

Identiti

Petunjuk, tanda, ciri-ciri yang menunjukkan tanda pengenalan seseorang atau barangan.

Ikat

Kaedah menyambungkan bahagian-bahagian rotan dengan menggunakan kulit rotan sebagai penyambungkan. Teknik-teknik ikat bergantung kepada jenis sambungan yang dikehendaki.

Ikat Bena

Bahagian jentera yang berupa jalinan tali atau benang yang mengikat genu dengan gigi jentera.

Ikat Butang

Proses menggantikan lidi songket dengan menyusup benang asing d kemudian disimpulkan menjadi butang.

Ikat Loseng

Proses mengikat motif pada benang memanjang atau benang menunggu (warp).

Ikatan Ombak Beralun

Sejenis ikatan pada kain sarung yang dipakai bersama baju kurung Johor, baju Pahang, baju kurung cekak musang atau baju kurung Teluk Belanga. Dikenali juga dengan ikatan Johor-Riau. Sebahagian daripada kain sarung yang dipakai dilipat sama ada di bahagian sisi kiri atau kanan dan diikat kemas supaya tidak tertanggal. Lipatan seakan-akan beralun atau berombak-ombak menjadi penyeri baju kurung tradisional.

Ikat Pakan

Proses mengikat benang melintang atau benang mendatang (weft) untuk menghasilkan motif pada permukaan kain.

Ikatan Tindih Kasih

Sejenis ikatan pada kain sarung yang dipakai bersama baju kebaya atau baju Kedah. Kain sarung batik, songket atau tenun dilipat (ditindih) di bahagian hadapan dan kemudian dikat kemas supaya tidak tertanggal dan memudahkan pergerakan si pemakai.

Ingot Mould

Acuan untuk membentuk jongkong.

Injak Karat

lih. kayu pijak karat.

Inovatif

Bersifat baharu, menarik, asli (teknik, kaedah)

Istiadat

Resam, aturan yang biasa, kelaziman, adat kebiasaan, upacara, keramaian, peralatan (mengikut adat)

Jambia

Sejenis senjata bengkok yang disalut perak atau emas dihias dengan motif bunga-bungaan atau awan larat dan digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri.

Jangka dan Pelurut

Jangka diperbuat daripada sekeping kayu atau buluh. Di salah satu bahagian hujung kepingan kayu atau buluh dipasang mata tajam bertujuan untuk membelah daun pandan mengkuang menjadi bilah-bilah mengikut ukuran yang diperlukan.

Jara Sila

Sejenis peralatan dalam pembuatan seni logam terutamanya dalam membuat lubang pada hulu senjata.

Jarum Colek

Alat tenun halus daripada buluh, dawai, tembaga dan lain-lain yang hujungnya bercangkuk untuk mengait benang lungsin semasa proses menyampak. Buluh colek.

Jata

Lambang kebesaran sesebuah negeri atau negara.

Jebak Puyuh

Merupakan sejenis produk kraf yang kebiasaannya digunakan sebagai perangkap burung puyuh dan perhiasan rumah. Ianya dihasilkan menggunakan batang resam, akar ribu-ribu, kayu leban atau cengal.

Jejak Kaki

lih. kayu pijak karat.

Jejak Karat

lih. kayu pijak karat.

Jentera

Bahagian badan kek yang menyerupai sikat yang berfungsi sebagai laluan benang lungsin dan merapatkan benang pakan. jetera, sisir.

Jerami

Bahagian batang padi atau rumput yang telah dikeringkan dan banyak digunakan dalam perusahaan ternakan, pertanian, kraf tangan dan sebagainya.

Jetera

lih. jentera.

Jidor

Sejenis alat muzik tradisional berbentuk gendang bagi mengiringi tarian kuda kepang. Diperbuat daripada batang kelapa dan kedua-dua permukaan jidor dilitupi dengan kulit lembu atau kulit kambing dan alat ini dimainkan dengan menggunakan kayu.

Kabang

Bahagian mulut kuron.

Kain Kasa Rubia

Sejenis kain nipis dan jarang tenunannya. Dikenali juga dengan nama kain sering, kain serasah atau kain khasah. Terdapat juga kain kasa rubia yang rapat tenunannya dikenali sebagai kain perai.

Kain Kelubung

Kain yang dipakai sebagai penutup, tudung kepala atau badan. Dahulu kain batik, tenun atau songket dijadikan sebagai kelubung terutamanya oleh wanita Melayu tradisional.

Kain Limar Berayat

Kain tenun yang dihasilkan dengan benang kapas atau sutera dan disulam benang emas. Tenunan limar ini mempunyai motif tulisan ayat-ayat suci Al- Quran seperti surah Al-Ikhlas dan surah As-Saff. Pada masa dahulu kain limar berayat ini digunakan sebagai kain penutup jenazah atau keranda.

Kain Organdi

Sejenis kain yang ringan, nipis, berkilat dan tidak mudah berkedut. Sesuai digunakan untuk membuat sulaman, langsir dan lain-lain.

Kain Punca Potong

Sehelai kain yang kedua-dua bahagian hujung (pangkalnya) tidak disambung. Kain ini juga disebut kain punca cuai.

Kain Sirat

Salah satu daripada pakaian asas kaum lelaki Iban di Sarawak. Ia diperbuat daripada sebidang kain tenunan pua yang disulam dengan hiasan manik atau kulit siput.

Kain Songket Limar

Kain yang dihasilkan menggunakan benang kapas atau sutera dengan teknik ikat pakan bersulam benang emas. Kain songket limar selalunya dijadikan kain kelubung, kain sarung, bengkung dan kain tutup dada yang biasanya menjadi pakaian khas wanita istana.

Kain Tenun Pahang

Kain tenun yang dihasilkan menggunakan benang kapas dan sutera. Keunikan kain tenun Pahang ini ditonjolkan melalui jejalur halus sepit udang yang merupakan identiti dan elemen terpenting. Pengusaha tenun Pahang memberi tumpuan pada penghasilan kain sarung dan kain sampin dan kini turut dijadikan kain ela bagi memenuhi cita rasa pengguna semasa.

Kaki Kain

Bahagian kain selepas tepi kain.

Kaki Pijak

lih. kayu pijak karat.

Kalambi

Sejenis pakaian tradisional lelaki dan wanita Iban yang menggunakan tenunan pua. Terdapat dua jenis kalambi iaitu kalambi berlengan dan kalambi tidak berlengan.

Kaligrafi

Seni tulisan tangan yang menghasilkan huruf atau tulisan yang indah sebagai suatu seni; Khat.

Kambi

Dua urat benang lungsin.

Kanvas

Sejenis kain tebal dan kuat dijadikan alas untuk menggelek tanah liat menjadi kepingan.

Kapit

Bahagian lajur di tepi kiri dan kanan kepala kain. Ombak-ombak.

Karat

Bahagian badan kek yang terdiri daripada benang asing dan dua pasang geligin yang berfungsi untuk menurun dan menaikkan benang lungsin. Sebuah kek mempunyai sepasang karat.

Karat Butang

lih. Butang.

Karatung

Sejenis alat muzik gendang yang digunakan oleh suku kaum Kadazan dan Dusun,Sabah. Alat ini diperbuat daripada kayu jenis lembut dan bahagian mukanya ditutupi dengan kulit kambing.

Karut

Karut Guni.

Karya

Kerja buatan, seni, buah pena, hasil tulisan, ciptaan.

Kasau

Kayu yang dipasang melintang pada bumbung rumah sebagai rangka untuk memasang atap.

Kayu Anian

lih. Anak anian.

Kayu Butang

Bahagian hujung kek yang terdiri daripada dua batang kayu, satu diikat atau dipasang pada pasung dan satu lagi diikat dan digantung pada bahagian atas tiang kepala kek yang digunakan untuk menggantung butang.

Kayu Hanyut

Kayu terbiar yang diperoleh daripada beberapa jenis pokok seperti ru,tembusu, keranji dan lain-lain. Kayu hanyut ini akan direka dan dibentuk semula oleh pengusaha kraf kayu mengikut kreativiti mereka dalam menghasilkan barang hiasan yang menarik dan berkualiti tinggi.

Kayu Pesa

Bahagian pesa yang terdiri daripada sebatang kayu segi empat melintang di atas tiang pesa. Sanding bahagian yang menjadi tempat menggulung tenunan diraut supaya tidak tajam, dan salah satu bahagian mukanya berlurah dan berkuku untuk menjadi tempat menyangkutkan punca kain.

Kayu Pijak Karat

Bahagian bawah badan kek yang berupa kayu yang digantungkan pada karat dan dipijak untuk menaikkan dan menurunkan karat semasa menenun. injak karat, kaki pijak, jejak kaki, jejak karat, pijak karat.

Kayu Regang Kek

Bahagian hujung kek yang berupa kayu panjang melintang, bahagian tengahnya dibulatkan, yang menghubungkan antara dua tiang kek dan menjadi tempat mengikat tali regang kek.

Kayu Regang Pasung

Bahagian hujung kek yang berupa kayu bulat panjang yang disusupkan ke dalam gegelung regang dan bahagian tengahnya diikat dan diregangkan dengan tali regang kek.

Kayu Tera, Kayu Meterai

Alat tempa yang berupa kayu kecil atau lain-lain bahan. Kedua-dua permukaan hujung alat tempa ini mempunyai motif tertentu. yang digunakan untuk membentuk corak dengan menekannya pada permukaan jasad tempaan.

Kayu Teras

Bahagian yang keras di tengah-tengah dalam batang kayu.

Kebaya Mini

Baju berlengan panjang, berbelah dada dan bercekak di pinggang untuk wanita (bersaiz kecil).

Kebak Laksa

Peralatan tradisional yang diperbuat daripada tembaga untuk membuat laksa beras yang sangat terkenal pada tahun 50an hingga tahun 80an.

Kek

Alat menenun kain yang terdiri daripada kepala kek, badan kek dan hujung kek.

Kekisi

Bahagian rahat yang berupa kayu atau nibung, panjangnya antara 12-18 cm, garis pusat 0.5 cm dan salah satu hujungnya meruncing, di tengahnya lekuk, untuk laluan tali kelindan.

Kelarai

Motif dan ragam hias pada anyaman pandan, mengkuang, bertam, buluh dan sebagainya.

Kelewang Calong

Sejenis senjata yang mempunyai mata melengkung menyerupai sabit.

Keliring

Merupakan tiang kayu yang diukir dengan motif etnik dan geometrik di sekeliling permukaannya. Ianya digunakan oleh suku kaum di Sabah dan Sarawak. Pada awalnya, fungsi tiang ini adalah sebagai tempat persemadian pemimpin masyarakat suku kaum berkenaan. Kini fungsi dan peranan tiang ini berubah dan dijadikan mercu tanda budaya negeri Sarawak.

Kembal

Bakul kecil yang diperbuat daripada mengkuang yang dijadikan bekas menyimpan barang keperluan harian seperti bekas alatan jahitan, barang hiasan dan pakaian. Ianya dianyam dalam pelbagai saiz.

Kemahiran

Kecekapan, kepandaian melakukan sesuatu.

Kemasan

Kerja-kerja akhir untuk menghalusi dan mencantikkan produk.

Kendi

Bekas  yang bermuncung dan bertangkai untuk mengisi air minuman yang diperbuat daripada tembaga, perak atau tembikar. Biasanya terdapat ukiran timbul yang menghiasi bahagian badan dan tangkai kendi. Cerek.

Kendik

Corak halus yang menjadi sempadan antara satu corak dengan corak yang lain.

Keng

Bahagian tepi kiri dan kanan yang menjadi tiang jentera.

Kenong

Sejenis alat muzik tradisonal yang digunakan dalam persembahan gamelan. Alat ini menyerupai gong yang berbentuk pipih dan lebih tebal, diletakkan di atas regangan tali yang diikat pada kotak kayu . Alat muzik ini mengeluarkan nada bunyi yang lebih lembut berbanding nada bunyi yang dihasilkan oleh gong.

Kenyal

Keras menganjal apabila ditekan, agak liat.

Kepala Anian

Bahagian hujung tapak anian yang mempunyai dua anak anian tempat meletakkan benang pungut.

Kepala Kain

Bahagian kain yang mempunyai corak yang berlainan daripada badan kain/tubuh kain dan biasanya bercorak menegak.

Kepala Kek

Bahagian kek yang terdiri daripada dua batang tiang kepala kek, papan duduk dan pesa.

Kepuk

  • Salah satu daripada bahagian rumah yang dijadikan tempat untuk menyimpan padi.
  • Sejenis alat berbentuk bulat diperbuat daripada daun mengkuang untuk mengisi penganan atau wajik. Sebelum dibuat kepuk, daun mengkuang dilayur dan kemudian dibentuk bulat. Penganan atau wajik yang dimasukkan ke dalam kepuk dialas dengan daun pisang. Kepuk yang berisi penganan atau wajik di sebut boko.

Kerambit

Sabit kecil, beladau, jambiah, golok, lawi ayam, sejenis pisau kecil yang melengkung dipakai sebagai senjata.

Kerawang

Ukiran, tenunan, sulaman yang berlubang-lubang.

Kercang

Sejenis alat permainan tradisi Melayu lama, diperbuat daripada gelungan rotan yang disusun hingga menghasilkan pelbagai bentuk dan lapisan. Setiap lapisan mempunyai tahap kesukaran yang berbeza. Pada masa dahulu, permainan ini sangat popular dalam kalangan Orang Asli (etnik Jakun) dan orang Melayu lama yang tinggal di sekitar kawasan pedalaman hutan Endau.

Kercut

Sejenis rumput air yang hidup subur di kawasan paya dan tasik. Ianya diproses dan dianyam menjadi tikar dan bakul serba guna. Kini pengusaha mengkomersialkan kercut sebagai hiasan bunga kering yang semakin diminati.

Keringkam

Keringkam atau kelingkam ialah seni kemahiran menyulam kain yang amat sinonim dengan masyarakat Melayu di negara ini. Sulaman ini menggunakan benang emas atau perak berbentuk kepingan yang halus. Kain kasa robia (voile) atau sifon antara kain yang biasa digunakan dalam sulaman ini.

Keris

Senjata yang bermata dua yang tajam, bilahnya lurus atau berkelok-kelok; merupakan senjata tradisional orang Melayu.

Kerongsang

Sejenis perhiasan yang disematkan pada pakaian.

Ketam

Sejenis alat untuk melicinkan permukaan papan.

Ketumbu

Sejenis bakul yang bertutup diperbuat daripada anyaman pandan mengkuang.

Ketupat Lanyek

Sejenis bekas anyaman pandan yang biasanya menggunakan lidi nipah atau bilah buluh. Ianya dihias dengan sulaman berduri di kedua-dua belah bahagian badannya. Dihasilkan oleh masyarakat Melayu Sarawak dan digunakan untuk menyimpan emping atau beras.

Kikir

Sejenis alat daripada keluli yang bergerigi halus pada permukaannya atau tepinya dan digunakan untuk mengikis, melicinkan, mengasah dan memotong besi.

Kneading Process

Proses menguli.

Kolong

Leher tembikar.

Komo

Alat yang digunakan untuk membentuk kepingan logam menjadi separuh bulat. Doming.

Kompang

Sejenis alat muzik tradisional yang tergolong dalam kategori gendang. Badan kompang diperbuat daripada kayu halban yang menggunakan proses melarik untuk membentuk bingkai. Kulit kambing yang telah diproses dipasang dan dipaku kemas pada bingkai kompang dan dimainkan secara berkumpulan di majlis perkahwinan dan keraian.

Komposisi

Bahagian-bahagian yang disusun, dicantum dan  dijalin menjadi ciptaan yang lengkap.

Komposisi Corak

Campuran atau gabungan bahan untuk membentuk sesuatu rupa ukiran, langgam, lagu, motif, bentuk yang terbentuk.

Kontemporari

Gaya moden mengikut arus zaman.

Kosmos

Alam semesta.

Kotak Cicin

Tempat untuk meletakkan atau menyimpan cincin.

Kuak Lungsin

Ruang di antara benang lungsin yang dikuakkan, yang naik dengan yang turun, semasa ditenun.

Kubah

Kubah merupakan antara unsur seni bina yang berbentuk seperti separuh bulatan dan biasanya akan diletakkan di tempat tertinggi di atas bangunan (sebagai bumbung).

Kuda Kepang

Sejenis patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Biasanya digunakan untuk tarian tradisional kuda kepang di negeri Johor.

Kudin

Sejenis belanga tradisional yang dihasilkan untuk kegunaan harian oleh masyarakat Kelabit, Sarawak. Berbentuk seperti periuk bersaiz besar dan digunakan untuk mengisi tuak atau memasak nasi.

Kui

Merupakan bekas mengisi logam tembaga atau perak untuk dicairkan.

Kuku Sumbi

Bahagian hujung sumbi yang berupa cangkuk untuk mencangkukkan sumbi pada kain.

Kuku Pesa

Bahagian kayu pesa yang dibuat daripada paku, yang dipakukan menembusi, lurah untuk menyangkutkan lidi pesa.

Kukuran

Peralatan tradisional untuk mengukur kelapa. Bahagian badannya diperbuat daripada kayu kadangkala dihiasi dengan ukiran manakala matanya diperbuat daripada kepingan logam (besi).

Kukut

Alat menarik atau scraper.

Kulit Siput

Kulit cengkerang luar yang keras sebagai perumah kepada siput dan haiwan moluska lainnya seperti kupang, kerang, dan tiram. Sering dijadikan bahan hiasan penyeri sudut rumah, aksesori dan cenderamata.

Kuron

Pasu berbentuk periuk yang diusahakan oleh masyarakat Kadazandusun.

Kutai

Rumah tradisional negeri Perak yang mempunyai keunikan tersendiri terutamanya pada struktur binaannya yang menggunakan bahan-bahan semula jadi. Kehalusan seni ukiran yang terdapat pada bahagian-bahagian rumah kutai lama menjadi hiasan dan mengawal sistem aliran udara di dalam rumah secara semula jadi.

Labu Panai

Bekas air yang diperbuat dari tanah liat, berbadan bulat dan bermotif garis timbul selari yang ditempelkan pada badannya.

Labu Sayong

Sejenis bekas penyimpan air yang diperbuat daripada tanah liat. Labu ini mendapat namanya kerana ia diusahakan di Kampung Kuala Bendang, Sayong yang terletak di daerah Kuala Kangsar, Perak. Reka bentuknya menyerupai buah labu dan dihiasi reka corak yang diilhamkan dari alam sekeliling seperti motif tumbuh-tumbuhan dan garisan geometri.

Labu Tela

Lakuer (lacquer)

Sejenis bahan pengilat yang disapu pada permukaan kayu atau logam.

Bekas untuk menyimpan air yang berbadan seperti bentuk buah labu ketela, berleher tirus ke atas dan bermulut agak luas.

Lalabi

Buluh yang menyerupai sudip dengan pemukaan hadapan leper dan berfungsi untuk memampat tanah dan digunakan dalam proses pembentukan kuron.

Lapohan

Dapur yang diperbuat daripada tanah liat oleh Masyarakat Bajau.

Larik

Membentuk sesuatu bahan seperti kayu, batu atau logam menjadi licin dan berbentuk bulat.

Lathe Machine

Mesin larik digunakan untuk membentuk atau melarik model tembikar.

Layur Layang

Kaedah untuk mengeringkan rotan dengan menggunakan api.

Leather Hard

Tanah liat dalam keadaan separa keras.

Lebah

Motif kontemporari berunsur serangga yang berkepak dan bersengat telah diabstrakkan menjadi corak.

Lebeda

Bekas menggulung benang tenun Iranun yang biasanya dibuat daripada tin-tin kosong atau kayu yang diraut halus.

Lebihan Tuangan

Lebihan cecair slip yang dituang ke dalam acuan.

Lekar

Pelapik periuk yang diperbuat daripada lidi kelapa, nipah atau kelapa sawit yang diraut dan dianyam berbentuk bulat dan kadangkala dibuat berkaki.

Lekuk Kekisi

Bahagian tengah kekisi yang lekuk untuk laluan tali kelindan.

Lembing

Sejenis senjata yang dihasilkan oleh tukang besi dan dikategorikan sebagai senjata lontar. Batangnya diperbuat dari kayu lurus, mata lembing dimasukkan ke dalam batang dan diperkuatkan dengan ikatan rotan.

Lempar Alin

Teknik pembuatan tembikar dengan cara putaran menggunakan mesin pemutar atau roda. Bentuk yang dihasilkan melalui teknik ini hanya terhad kepada bentuk bulat dan silinder sahaja.

Lemudi

Hiasan tekat benang emas yang diletakkan sebagai hiasan di kepala pintu, tingkap atau bendul pelamin.

Lengak

Kuali.

Lentik

Melengkung ke atas atau ke belakang.

Lesung Kaki

Alat menyediakan bahan tempaan yang diperbuat daripada kayu dengan alunya bersambung pada satu hujung kayu melintang seperti kayu jongkang-jongket. Alu ini dipijak dengan kaki untuk menumbuk tanah liat.

Lidi Pesa

Bahagian kepala kek yang berupa lidi yang disisipkan pada punca kain dan kemudian disangkutkan pada kuku pesa.

Lidi Songket

Lidi langkap atau lidi buluh yang disisipkan pada benang lungsin untuk menentukan kedudukan corak ketika menyongket. bilah sisip.

Lilident (Sbh)

Bahagian alat tenun Iranun yang dibuat daripada buluh sumbiling sebesar 10 cm dan kira-kira 1.5 cm panjang. yang digunakan untuk menandakan benang lungsin dan penahan benang tersebut daripad bercampur dan berpilin.

Linggi

Kayu yang melengkung pada buritan atau haluan perahu.

Longgak

Sejenis pisau.

Loseng

Benang yang dipasang secara memanjang pada badan kek dari papan gulung ke gigi jentera.

Lubang Angin

Tingkap, jendela, ram, tabuk.

Lubang Kekunci

Lubang pemati antara acuan.

Lubang Garisan (Line Drawing)

Lukisan yang dihasilkan dengan menggunakan garisan.

Lunas

Kayu panjang pada dasar perahu.

Lungsin

lih. benang lungsin.

Lupo

Belanga.

Lurah Pesa

Bahagian kayu pesa yang beralur tempat kuku pesa.

Luru

Proses menggilap atau menggosok permukaan tembikar (labu) supaya licin dan berkilat.

Mandrel

Alat yang digunakan untuk membentuk bulat; biasanya digunakan untuk tujuan membuat gelang dan cincin.

Manik Kaca

Aksesori yang merupakan hasil kerja tangan masyarakat Orang Ulu Sarawak. Diperbuat daripada kaca berbentuk lidi atau batang, pelenting yang dipanaskan di atas sebatang besi yang dicelup menggunakan tanah liat putih. Manik kaca tidak mudah pecah dan mempunyai permukaan licin dan bersinar boleh digubah serta diolah menjadi pelbagai perhiasan yang menarik seperi anting-anting, gelang tangan dan rantai leher.

Manik Murut

Merupakan produk kraf aksesori suku kaum Bookan/ Baukan. Ianya  juga dikenali sebagai Takin yang bermaksud  pelbagai corak. Kebiasaannya manik ini digunakan dalam pesta perkahwinan atau upacara kebesaran turut dijadikan sebagai hantaran oleh suku etnik Murut.

Manik Orang Ulu

Sejenis perhiasan yang diperbuat dari pelbagai jenis bahan iaitu kayu, kulit siput, batu, kaca, tulang gigi haiwan dan seramik. Ia memiliki nilai status dalam komuniti sebagai lambang darjat kekayaan dan pengaruh besar.

Marik Emping

Hiasan gubahan manik yang dipakai pada leher dikalangan kaum wanita masyarakat Iban, Sarawak.

Masyarakat Chetti

Masyarakat India Peranakan atau Chetti Melaka merupakan kelompok minoriti India yang mengamalkan cara hidup dan budaya yang unik di Melaka. Masyarakat ini terbentuk daripada hasil perkahwinan campur yang berlaku di antara pedagang India dengan masyarakat tempatan.

Mata Kekisi

Bahagian runcing kekisi untuk menempatkan peleting.

Mati Warna

Proses menahan warna benang daripada luntur. memati warna.

Meja Hidang

Tempat melakukan kerja menghubung.

Meja Menguli

Meja yang kukuh untuk dijadikan tempat menguli tanah liat.

Meja Terap

Meja yang digunakan dalam proses menghasilkan batik blok. Span lembap diletakkan di atas permukaan meja terap dan kemudian sehelai plastik nipis dibentang di atas meja bagi melanghalang lilin daripada menyerap ke permukaan span yang lembab. Span yang lembab ini bertindak menyejukkan dan membekukan lilin yang diterap.

Melagang

Proses memulakan kerja membentuk jasad tempaan dengan menggunakan tangan.

Melantak

lih. pelantakan.

Melekap

Melekat, tertampal.

Melikas

Proses menggulung benang mentah dengan menggunakan peralatan tradisional yang dikenali sebagai likas. Proses ini dilakukan untuk membahagikan benang mentah kepada bahagian untai atau unting benang yang kecil sebelum direndam semalaman di dalam air abu.

Memati Warna

lih. mati warna.

Memujaradkan

Menjadikan sesuatu mujarad, mengabstrakkan; tidak nampak dan tidak dapat dirasa, abstrak.

Menebuk

Membuat lubang pada bahagian atas kubah tanah liat.

Menekap

Menyalin motif dengan menggunakan kertas tekap.

Menenun

lih. penenunan.

Menerai

lih. terai.

Mengarat

lih. pengaratan.

Menggelek

Menggiling di antara dua belah tapak tangan supaya menjadi lingkaran.

Menghubung

lih. penghubungan.

Mengikat Tali Butang

lih. ikat butang.

Mengisar

Memutar, memusingkan.

Menguli

Proses menggaul atau menyebatikan adunan tanah liat dengan menggunakan tangan atau mesin uli.

Mengumpil

Menanggalkan (mencabut, mengungkil, menuil) sesuatu yang terlekat atau tertutup rapat dengan tuil.

Menjalin Karat

Proses mengemaskan bahagian atas karat dengan memberkas dan mengikat benang karat dengan benang asing pada geligin supaya kukuh.

Menterjemah

Mengalihbahasakan. Kerja-kerja mengalih bahasa dari satu bahasa kepada bahasa yang lain.

Menyampak

lih. penyampakan.

Menyampok

lih. penyampakan.

Menyerong

Tidak lurus. Senget sedikit.

Menyongket

Proses menyisipkan lidi songket pada benang lungsin untuk membentuk corak yang akan ditenun dengan benang emas. Proses ini hanya dilaku-kan untuk tenunan songket. menyungkit, songket, sungkit.

Menyungkit

lih. menyongket.

Menyurih

Melakar reka corak dan motif batik di atas permukaan kain yang dilakukan di atas meja surih.

Merahat

lih. terai.

Metal Kidney

Perkakas zink yang menyerupai bentuk buah pinggang dijadikan sebagai perkakas kemasan.

Metal Scraper

Besi pengikis.

Metallurgy

Kaji logam; mengkaji tentang sesuatu logam.

Metet

Bahagian anian yang menempatkan peleting.

Mihrab

Bahagian masjid atau surau yang menganjur ke kiblat atau tempat imam memimpin sembahyang.

Mimbar

Sejenis binaan di dalam masjid yang diperbuat daripada kayu diukir indah dengan motif tumbuhan, kosmos atau kaligrafi dan dilengkapi dengan anak tangga. Biasanya digunakan oleh khatib pembaca khutbah.

Monguboh

Proses Pembakaran.

Motif

Sesuatu yang dijadikan dasar atau corak pada lukisan, ukiran dan lain-lain.

Motif

Sesuatu yang dijadikan dasar rujukan corak lukisan, ukiran dan tenunan.

Motif Organik

Merupakan motif yang berunsur tumbuh-tumbuhan, bunga-bungaan, burung, unggas, dan binatang.

Motif Stailisasi

Motif yang berbentuk bebas yang tidak terikat pada reka bentuk realistik, keaslian atau tiga dimensi. Pertimbangan imej berdasarkan ciri bahan yang digunakan.

Mujarad

Tidak wujud; tidak nampak; tidak maujud; abstrak.

Muncung

Mulut pada cerek atau kendi.

Ngayak

Menapis.

Nibung

Sejenis pokok yang tergolong dalam keluarga palma dan tumbuh di dalam hutan hujan tropika Asia Tenggara. Batang nibung dipenuhi duri-duri tajam tumbuh secara menegak dan lurus. Ianya antara bahan dan peralatan penting dalam seni bina tradisional.

Nipah

Tergolong dalam keluarga palma hidup subur di kawasan berair dan hutan bakau. Masyarakat tempatan menjadikan daun nipah sebagai atap, dinding rumah, bakul, tikar, penyapu dan sebagainya.

Nuan

Sejenis bekas tembikar yang digunakan untuk menyimpan dan memasak makanan. Proses pembuatan nuan mempunyai persamaan dengan pembuatan tembikar di Semenanjung.Tembikar tradisional ini diusahakan oleh masyarakat Iban, Sarawak.

Numpukelei

Motif atau ragam hias pada kuron yang berbentuk intan.

Nyiru

Alat yang dianyam daripada rotan, bertam dan sebagainya yang digunakan untuk menampi bijirin seperti beras, gandum dan lain-lain.

Ombak-ombak

lih. kapit.

Ogi

kumai (ukiran pada perkakas kayu seperti almari dil) yang timbul atau bergerigi) yang mempunyai keratannya berbentuk ‘S’.

Olahan

Proses

Organik

Merujuk kepada rekaan atau bentuk keseluruhan yang bersifat lembut; beralun, melengkuk, melentur, berlingkar dan lain-lain. Bentuk-bentuk ini selalunya terilham dari alam sekitar seperti pucuk daun, buah dan sebagainya.

Otek-otek

lih. tangan rahat.

Ox-head

Tanduk lembu

Pagsud (Sbh)

Proses mengira benang dan mengukur panjang benang lungsin yang dikehendaki. Proses ini berbeza daripada penganian kerana kaedah dan peralatannya berbeza dengan yang di Semenanjung.

Pagusut (Sbh)

Proses menyusun benang pada suddan untuk dijadikan lungsin. Proses ini berbeza daripada penggulungan kerana kaedah dan peralatannya berbeza daripada tenun di Semenanjung.

Paguta (Sbh)

Sebatang buluh (jenis manduri) yang berukuran 365 cm panjang dengan ukur lilit 30 cm untuk menggantung/menyangkut benang yang telah dijadikan lungsin. Dua lubang ditebuk untuk menghasilkan bunyi sebagai tanda ketegangan/rapat benang.

Pahat Ukir

Alat besi yang berbentuk bilah yang tajam hujungnya digunakan untuk menebuk lubang, mengukir kayu. Terdiri daripada beberapa jenis iaitu pahat leper, pahat kuku, pahat serong dan pahat V

Pakan

lih. benang pakan.

Paku Pakis

Motif berunsur tumbuhan pakis

Palati (Sbh)

lih. peleting.

Palok

Dulang kayu yang berbentuk seperti perahu.

Pamaluk

Kayu yang berbentuk seperti tukul.

Pemarapan (Sbh)

Proses menenun kosong sebagai permulaan tenun sebelum membuat/ menyongket corak.

Pamor

Corak yang terdapat pada bilah mata keris. Terdapat dua jenis pamor yang utama iaitu pamor yang dirancang (rekaan) dan pamor yang tidak dirancang (semulajadi). Malah terdapat sebilangan masyarakat yang percaya bahawa pamor mempunyai daya magis yang sangat besar dalam mempengaruhi pemiliknya. Pamor berbeza-beza antara satu sama lain dan bergantung kepada darjat seseorang itu sama ada rakyat biasa,  golongan pahlawan atau berketurunan raja.

Panaletag (Sbh)

Proses memindah benang lungsin dari suddan ke alat tenun dan memastikan benang tersebut tidak kendur.

Pandai Besi

Merujuk kepada orang yang ahli dalam kerja seni pertukangan besi. Melalui kepekaan terhadap keindahan alam semula jadi, pandai besi memiliki kepintaran, kesabaran, ketekunan dan kemahiran untuk menggabungkan antara keindahan, bentuk dan fungsi ke dalam ciptaan mereka bagi menghasikan produk bermutu tinggi. Produk yang dihasikan daripada besi merupakan alatan senjata dan perkakasan yang digunakan untuk kegunaan seharian seperti keris, parang, pisau, cangkul, lembing dan sebagainya.

Panel

Kepingan kayu atau papan berukir yang disambung-sambung dan digunakan sebagai hiasan dinding

Panta

Merupakan salah satu adat tradisi Pepatih di mana panta atau dulang diisi makanan atau kuih muih. Panta ditutup dengan tudung saji, kemudian dibalut dengan kain batik, kain songket atau kain tudung/selendang yang cantik.

Panuggit (Sbh)

Proses mengatur benang lungsin ke celah mata tagah.

Papan Duduk

Bahagian kepala kek yang menjadi tempat duduk penenun.

Papan Gulung

Bahagian hujung kek yang terdiri daripada ibu dan anak papan gulung yang menggulung benang lungsin.

Papan Karat

Alat bantu membuat karat yang berupa papan pendek dan pada tepi atasnya beralur tempat meletakkan geligin, yang digunakan untuk memandu ukuran lilit gelung benang karat.

Papan Pelantar

Papan tempat meletak barangan

Pasak

Bongkah kayu berbentuk tirus yang digunakan sebagai penyendal

Pasiga (Sbh)

Bahagian alat tenun Iranun daripada buluh untuk diinjak bagi menegangkan benang lungsin.

Pasolan

Acuan yang dibentuk corak; biasa digunakan dalam filigree

Pasung

Bahagian hujung kek yang berupa sepasang kayu yang berlubang di tengahnya yang digantung untuk menempatkan papan gulung.

Pateri

Proses mencantumkan logam

Pattern

Corak pada kain atau anyaman; contoh atau arahan bagaimana sesuatu barang dibuat; contoh kain dil; th yang terbaik; kekerapan cara sesuatu itu berlaku; pola

Patung Moyang

Perkataan ‘Moyang’ digunakan pada patung dan topeng yang dihasilkan oleh masyarakat Orang Asli (khususnya kaum Mah Meri di Pulau Carey). Moyang merujuk kepada nenek moyang mereka yang dipercayai menjadi pengawal kepada kesejahteraan hidup dan berkuasa menjatuhkan hukuman. Kaum Mah Meri mengukir patung dan topeng sebagai tanda penghormatan terhadap roh nenek moyang mereka yang dianggap berkuasa dan patut dihormati.

Pelantakan

Proses menenun dengan merapatkan benang pakan dengan menggunakan jentera semasa menenun. Melantak.

Pelarik

Alat untuk membentuk belanga tanah liat

Pemangkas

Perkakas atau alat untuk memangkas

Peleting

Buluh atau plastik untuk menggulung benang tenun. Di Sabah dikenali sebagai palati.

Pemati

Teknik mematikan anyaman pada sesuatu produk, contohnya di mulut bakul.

Pemuan

Alat tempa yang diperbuat daripada kayu. Permukaannya bulat serta rata dan menurut pandangan dari sisi ia seakan-akan sebuah pinggan. Tapaknya diperbuat daripada kayu dan berbentuk empat segi.

Pemurnian Idea

Melakukan kemasan lakaran idea dengan mengambil kira aspek-aspek teknikal dan kesesuaian penggunaan.

Pemusing

Alat tempa yang seakan-akan pahar iaitu tapak yang berkaki, digunakan untuk membentuk jasad tembikar sepanjang proses pembuatannya.

Penempak atau Penempek

Kayu yang mempunyai reka corak dan digunakan untuk membuat corak atau motif pada pasu lban.

Penenunan

Proses membuat kain dengan cara menyilang benang pakan ke dalam benang lungsin dengan menggunakan kek. Dalam tenunan songket, benang emas digunakan dan memerlukan proses menyongket, membilang gigi belalang sert ikat butang. Pungut.

Penepek

Alat tempa daripada kayu yang digunakan untuk menepek permukaan jasad tempaan supaya bentuk jasad tempaan sejajar.

Penerap

Kayu yang berbentuk seakan-akan alu, digunakan dengan cara menolak perlahan-lahan dari arah dalam tembikar supaya tapaknya melengkung ke bawah.

Pengalas

Pelandas, penahan, pelapik

Penganian

Proses menentukan bilangan, ukuran, dan warna benang dari peleting ke anak anian.

Pengaratan

Proses penyediaan karat.

Pengembangan Idea

Peringkat kedua membangunkan idea yang lebih berstruktur dan rasional.

Pengepung

Perkakas untuk membuat kepungan

Pengeringan

Proses pematangan pertama untuk mengenyahkan air dari jasad tempaan. Proses dijalankan sama ada melalui pengeringan dedah atau pemanasan supaya produk tidak pecah atau retak apabila dibakar.

Penggantung Butang

Bahagian hujung kek yang terdiri daripada tali yang diregangkan dengan dua batang kayu, satu diikat atau dipasangkan pada pasung, satu lagi diikatkan atau digantungkan pada bahagian atas tiang kepala kek yang digunakan untuk menggantung butang.

Penggayaan

Mengolah lakaran idea / motif / bentuk kepada suatu bentuk yang berbeza daripada bentuk asalnya.

Penggulungan

Proses menggulung benang dari anian pada papan gulung.

Penghitaman

Penyejukan berantara dengan mengambuskan bakaran dengan bahan berkarbon seperti sekam atau habuk gergaji (serbuk papan) untuk menghasilkan tembikar yang berwarna hitam.

Penghubungan

Proses menyambungkan benang lungsin atau benang pakan yang putus sebelum atau semasa ditenun atau menyambungkan benang lungsin baru pada baki benang lungsin yang sudah ditenun untuk mengelakkan mengulang proses kerja awal menenun seperti menyampak dan mengarat untuk meneruskan helaian yang lain. Menghubung.

Pengikat Bena

Bahagian jentera yang terdiri daripada benang asing atau tali untuk mengikat gigi jentera kepada genu.

Pengikat Sumbi

Bahagian sumbi yang terdiri daripada benang yang mengikat kuku sumbi pada kiri kanan sumbi.

Penjemuran

Pemanasan jasad tempaan dengan mendedahkannya kepada panas matahari.

Penyalaian

Bahagian sumbi yang terdiri daripada benang yang mengikat kuku sumbi pada kiri kanan sumbi.

Penyampakan

Pemanasan jasad tempaan dengan mendedahkannya kepada haba di atas unggun api.

Penyejatan

Perihal menyejat. Air bertukar menjadi wap akibat peningkatan suhu. Meruap.

Penyisip

Diperbuat daripada buluh, merupakan peralatan yang digunakan semasa proses menyambung bilah anyaman yang putus dan juga penting semasa mengepai atau menyisip semasa proses kemasan pada anyaman.

Pepent (Sbh)

Alat tenun Iranun daripada buluh sumbiling kecil yang berfungsi menutup gigi lungsin apabila menenun.

Perak

Logam yang berwarna putih dan berkilat.

Pertukangan

Kemahiran membina dan membuat sesuatu objek.

Persepsi

Pandangan; tanggapan; pendapat

Permata

Sejenis batuan berharga, batu untuk mata cincin, intan, berlian, nilam, akik, laal, mirah, sahmura, jauhar

Perdu

Bahagian pangkal pokok.

Pesa

Bahagian kepala kek yang berfungsi sebagai tempat menggulung kain yang ditenun.

Pewarna Alam

Bahan-bahan pewarna yang diambil dan diolah dari tumbuh-tumbuhan.

Pewarnaan

Perihal atau proses mewarna

Pewarnaan Asli

Proses mewarna menggunakan bahan pewarna daripada sumber tumbuh-tumbuhan.

Pewter

Logam yang dibuat daripada campuran timah. plumbum dan beberapa jenis logam lain.

Photo Etching

Proses mengekstrak imej untuk dipindahkan kepada permukaan bahan yang ingin dicorakkan.

Picit Cubit

Teknik pembuatan tangan untuk membuat barangan seramik yang menggunakan jari (dipicit) untuk membentuk

Piercing Saw

Gergaji yang digunakan untuk menebuk dan memotong logam.

Pihatun

Motif atau ragam hias pada kuron yang berbentuk garisan lurus menegak.

Pijak Karat

lih. kayu pijak karat.

Pinggan

Alat yang diperbuat daripada kayu yang berbentuk pinggan dan digunakan sebagai tapak pemutar bagi pembentukan jasad tembikar.

Piring Lemparan Alin

Komponen mesin lemparan alin yang berbentuk bulat dan leper

Pucuk Rebung

Corak yang dihasilkan dari pucuk rebung yang telah diabstrakkan

Potter's Wheel

Mesin lemparan alin

Pola

Patrun, corak, ragi, model, cetakan, tempat tuangan, acuan, lembaga.

Plasticity

Keliatan

Plaster of Paris

Bahan mentah untuk membuat model atau acuan

Plaster of base

Tapak asas plaster

Pisau Wali

Sejenis pisau untuk mengukir kayu

Piring Rahat

Bahagian rahat piring yang berupa kayu bentuk piring untuk menggerakkan tali kelindan.

Pucuk Rebung

Motif berbentuk tiga segi seperti mata gergaji ini sangat popular di kalangan orang Melayu. la biasanya terdapat pada bahagian kepala kain sarong dan merupakan lambang kehidupan.

Pungut

lih. penganian.

Pusaran

Pusingan berlingkar atau putaran

Anian

Alat untuk memungut dan menyusun benang lungsin mengikut panjang dan lebar kain yang dikehendaki.

Rah

Garisan yang terdapat di keliling numpukelei

Rahat Daun

Rahat yang pemusing tali kelindannya terdiri daripada jejari kayu atau buluh.

Rahat Piring

Rahat yang pemusing tali kelindannya terdiri daripada kayu yang menyerupai piring.

Rahat-ruing

Alat yang terdiri daripada rahat dan ruing untuk menerai benang tongkol pada peleting.

Rama-rama

Motif kontemporari berunsur serangga yang berbentuk rama-rama yang mempunyai sayap yang besar dan cantik (corak)

Ramsah (Sbh)

Tabung buluh bekas air untuk membasahkan benang pakan supaya memudahkan ia rapat semasa ditenun.

Rebana

Sejenis alat muzik tradisional yang badannya diperbuat daripada kayu tualang dan biasanya bersaiz 60sm dan bahagian permukaannya ditutup dengan kulit kambing.

Rebana Ubi

Sejenis alat muzik tradisional Melayu yang dihasilkan menggunakan kayu keras seperti kayu cengal atau kayu meranti sebagai struktur utama. Bahagian atas permukaannya pula diperbuat daripada kulit kerbau, kambing atau lembu. Alat muzik ini dimainkan secara berkumpulan semasa pertandingan, musim menuai dan majlis perkahwinan.

Rehal

Alat yang berfungsi sebagai alat meletak Al-Quran dan juga buku. Ia dihasilkan daripada dua keping papan yang ditanggam secara bersilang. Permukaannya diukir dengan ukiran timbul dan tebuk timbus dengan motif-motif floral, kosmos atau geometrik.

Reka Corak Kontemporari

Motif yang dihasilkan berasaskan trend masa kini atau semasa.

Reka Corak Tradisional

Motif yang dihasilkan berasaskan corak tradisi.

Rekaan

Ciptaan berasaskan imaginasi dan idea yang membentuk sesuatu.

Relau

Gok, dapur, pelebur

Resist

Bahan yang digunakan untuk  menahan bahagian yang telah diekstrakkan imej daripada tindakan asid untuk menghasilkan imej di atas permukaan logam.

Ribu-Ribu

Sejenis pokok menjalar yang diraut kulitnya untuk dianyam dan dijalin kepada mempulur rotan atau bemban. Jalinan dibuat kemas dan teliti sehingga terbentuk produk yang diperlukan.

Ringka

Rotan yang dianyam di sekeliling pasu Iban, berfungsi sebagai pemegang atau tapak pasu.

Rivet

Paku sumbat, melekapkan dengan paku sumbat,

Rombong

Sejenis produk anyaman mengkuang yang dijadikan bekas bagi penyimpanan pakaian dan barangan. Rombong menggunakan teknik anyaman gila dalam penghasilan reka corak dan reka bentuk yang pelbagai variasi.

Rongga

Ruang-ruang yang berisi udara yang membentuk sambungan. Pundi udara.

Rongga Acuan

Liang pada sesuatu cetakan, tempat tuangan, lembaga, pola, teladan (kalimat), kelebut, contoh, susunan

Rotan Pulur

Rotan yang telah diproses kepada saiz yang lebih kecil, contohnya rotan saiz 1.5 mm, 2 mm.

Rouge

Bahan yang digunakan untuk mengilatkan bahan logam

Ruin

lih. ruing.

Ruing

Bahagian rahat-ruing yang berfungsi untuk menerai benang tongkol, kemudian digulungkan pada peleting. Terdapat dua jenis ruing iaitu ruing benang emas dan ruing benang pakan. Darwin. Ruin.

Ruing Benang Emas

Ruing yang tali ruingnya terdiri daripada dawai dan digunakan khas untuk menerai benang logam.

Ruing Benang Pakan

Ruing yang tali ruingnya terdiri daripada tali dan digunakan untuk menerai benang pakan.

Sabun Pemisah

Sejenis bahan yang digunakan sebagai agen pemisah antara acuan dan model

Sampir

Bahagian sarung keris yang di atas sekali, berbentuk lebar serta tebal. Sampir biasanya diperbuat daripada kayu seperti kemuning atau ada juga yang diperbuat daripada gading. Mulut sampir ditebuk bagi memasukkan mata keris.

Sanding

Proses mengosok menggunakan kertas pasir.

Sape

Sejenis alat muzik tradisional kaum Kenyah, Kayan, Kelabit dan Penan, Sarawak yang diperbuat daripada kayu meranti, kayu pelik dan kayu belian. Alunan alat muzik ini lazimnya bagi mengiringi tarian-tarian tradisonal seperti tarian ngajat dan lain-lain.

Saron Barung

Sejenis alat muzik pelengkap dalam persembahan gamelan yang bersaiz sederhana dan diperbuat daripada kepingan logam. Susunan kepingan logam yang tebal bagi menghasilkan nada bunyi yang tinggi dan logam nipis bagi nada yang lebih rendah.

Saron Demung

Sejenis alat muzik tradisional yang terbesar antara tiga buah saron yang mengiringi muzik gamelan. Alat ini diperbuat daripada besi yang menggunakan teknik kikir dan tempa.

Saron Pekin

Sejenis alat muzik pelengkap dalam persembahan gamelan yang diperbuat daripada logam. Saiznya lebih kecil dari saron barung dan tangga nadanya lebih tinggi.

Sarung

Pelindung mata senjata yang diperbuat daripada kayu dan terdiri daripada bahagian sampir, batang dan buntut.

Sauk Tangan

Proses memasukkan cuban atau benang emas (benang pakan) ke celah benang lungsin untuk membentuk corak kecil atau bertabur.

Sauk Torak

Proses memasukkan torak (benang pakan) ke celah benang lungsin.

Saulayak (Sbh)

Alat tenun Iranun berupa kayu bulat daripada patimar, berukuran 137 cm panjang yang digunakan sebagai tempat memasang benang dan kayu ini digantung pada paguta.

Saw Blade

Mata gergaji.

Scotch Pad

Bahan yang digunakan untuk mengilatkan bahan logam.

Sekam Padi

Kulit padi yang ditanggalkan untuk menghasilkan beras.

Sepuh

Mengeraskan logam dengan membakarnya supaya menjadi lembut untuk dibentuk, kemudiannya merendamkan dengan air supaya menjadi lebih keras.

Seramik

Tanah liat yang diuli, ditempa dan dibakar dengan pelbagai bentuk mengikut kehendak dan keperluan. Kemahiran pembuatan seramik ini menghasilkan beberapa produk seramik seperti labu Sayong, Mambong, Terenang, pasu Iban, pasu Kuron dan banyak lagi.

Seruling

Sejenis alat muzik yang diperbuat daripada buluh panjang yang dilubangkan pada bahagian badan dan dimasukkan sejenis kepingan logam nipis yang berfungsi sebagai alat penghasilan bunyi.

Serunai

Sejenis alat muzik tradisional berbentuk silinder yang diperbuat daripada kayu, di mana bahagian badannya diukir dengan ragam hias yang diolah menggunakan motif pucuk rebung. Serunai dimainkan secara berkumpulan bagi mengiringi persembahan wayang kulit dan silat.

Sesiku

Kepingan kayu yang dipasang atau dilekapkan pada tiang yang berfungsi untuk menyangga bahagian atas yang bersudut.

Seterika Tembaga

Sejenis alat menggosok baju secara tradisional yang diperbuat daripada tembaga. Ketulan bara arang kayu digunakan untuk memanaskan seterika sebelum digosok pada pakaian.

Sigal

Hiasan kepala yang dipakai oleh lelaki kaum Rungus untuk upacara istimewa.

Sikat

lih. gigi jentera.

Siku Keluang

Corak dan motif yang  merujuk kepada tulang sendi spesies keluang berbentuk V

Silat

Dalam ukiran kayu tradisional, membentuk motif atau bunga ukir merupakan perkara yang paling penting. Silat merupakan motif atau bunga ukir bagi ukiran timbul dan ukiran tebuk. Silat berperanan untuk menampakkan motif ukiran dalam bentuk tiga dimensi.

Silat

Kaedah membentuk corak dan motif ukiran dengan mengetuk pahat ke arah yang dikehendaki supaya menonjolkan dan menimbulkan reka bentuk  corak dan motif pada ukiran kayu.

Silika

Silika ialah silikon dioksida, iaitu sebatian kimia yang terdiri daripada silikon dan oksigen. Formula kimianya ialah SiO2. Silika wujud banyak dalam mineral pembentuk batu-batu yang dikenali sebagai silikat, yang membentuk sebahagian besar daripada kerak bumi dan mantel.

Simetrikal

Kedua-dua belah sama ukurannya; bentuk simetri; bersimetri

Simpai

Gelang-gelang (lingkar, bingkai) daripada rotan, logam atau lain-lain untuk mengikat atau meneguhkan sarung parang dan lain-lain.

Sinaringsaring

Bahagian leher kuron.

Sinuhak

Motif atau ragam hias pada kuron yang berbentuk garisan lurus melintang.

Sisir

lih. Jentera.

Slip

Tanah liat cair hasil campuran tanah liat dengan air yang digunakan untuk menghias pasu dan penuangan tanah liat

Sodium Silicate

Bahan yang menguraikan partikel kelompokan yang terkandung dalam tanah liat

Sompon

Tudung atau penutup kuron.

Sompoton

Sejenis alat muzik tradisional suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah yang diperbuat daripada labu yang dikeringkan dan digabungkan dengan batang-batang buluh kecil. Alat ini dimainkan semasa upacara adat dan keramaian seperti pesta menuai.

Songket

lih. menyongket.

Spindle

Diperbuat daripada besi pejal, berbentuk seakan tiang diguna pakai semasa melarik model dan salah satu komponen mesin larik secara melintang

Spinning

Berpusing pada paksi

Subjek

Perkara yang diperkatakan atau dinyatakan; bahagian utama dalam struktur ayat diikuti dengan pelengkap yang sebut predikat

Sudip

Alat tempa daripada buluh atau kayu atau lain-lain bahan yang digunakan untuk memotong dan melicinkan bahagian tertentu jasad tempaan.

Suddan (Sbh)

Alat yang dibuat daripada beroti mempunyai empat tiang, digunakan untuk menentukan bilangan lungsin dan ukuran panjang benang yang dikehendaki (untuk mengani).

Sudip

Alat tempa daripada buluh atau kayu atau lain-lain bahan yang digunakan untuk memotong dan melicinkan bahagian tertentu jasad tempaan.

Sukur

Penyokong bahagian badan lapohan, sejenis dapur yang diperbuat daripada tanah liat oleh Masyarakat Bajau.

Sulaman Linangkit

Seni kraf sulaman tradisional bagi masyarakat Dusun Lotud di Tuaran, Iranun di Kota Belud dan Rungus di Kudat, Sabah. Sulaman ini dihasilkan daripada kain berwarna hitam dan sekurang-kurangnya lapan warna benang dengan menggunakan teknik sulaman asli berdasarkan kiraan ‘telinga’ (lubang kain) dan petaknya.

Sulaman Pis

Seni kraf tangan suku kaum Binadan dari daerah Kudat, Sabah yang menggabungkan dua helai kain kapas berwarna hitam, jingga atau merah dan disulam dengan benang berwarna-warni (tidak lebih tujuh warna). Kaum lelaki suku kaum Bajau menggunakan kain sulaman pis untuk dijadikan tengkolok yang dipakai semasa upacara dan majlis istimewa.

Sulur

Pucuk, ranting atau julai daripada beberapa jenis tumbuhan melata atau melilit; pucuk batang muda; akar yang tumbuh dari cabang atau dahan; tunas yang tumbuh menyulur dari beberapa jenis tumbuhan.

Sumbangsaran

Satu proses penjanaan dan percambahan idea yang agresif berkaitan suatu perkara secara rawak tanpa perlu memikirkan rasional idea tersebut.

Sumbi

Bahagian kepala kek yang berupa sebilah kayu nibung yang berkuku di kedua-dua hujungnya dan di bahagian tengahnya bergelung tali untuk disangkutkan pada bahagian tengah lerang kain. Digunakan untuk menegangkan lerang kain semasa menenun.

Sungkit

lih. menyongket.

Surud (Sbh)

Tempat mengatur benang lungsin dan merapat kain tenun daripada kulit buluh manduri.

Susur Kelapa

Motif kontemporari berunsur tumbuhan yang berbentuk susur kelapa yang diabstrakkan

Tagah (Sbh)

Bahagian bergigi antara pepent dan tagak untuk laluan benang. Fungsinya sama dengan jentera tetapi mempunyai bentuk berbeza.

Tagak (Sbh)

Bahagian alat tenun Iranun yang berupa kayu beroti, berukuran 137 cm panjang, sebagai tempat memasang lungsin.

Tahi Ketam

Sisa-sisa kayu atau papan yang diketam untuk proses pelicinan. Tatal.

Tajam

Mudah memotong, mengerat, menghiris, melukai.

Tali Butang

Tali yang mengikat benang lungsin sebagai tanda corak yang dikehendaki.

Tali Gantung Caman

Bahagian badan kek yang berupa tali yang menggantungkan caman pada alang badan kek.

Tali Gantung Jentera

Bahagian badan kek yang berupa sepasang tali yang menggantungkan jentera pada alang badan kek.

Tali Gantung Karat

Bahagian badan kek yang berupa sepasang tali yang menggantungkan karat pada caman.

Tali Gantung Kayu Pijak Karat

Bahagian badan kek yang berupa sepasang tali yang menggantungkan kayu pijak karat pada karat.

Tali Gantung Pasung

Bahagian hujung kek yang berupa sepasang tali yang menggantung pasung pada alang hujung kek.

Tali Ikat Gerak

Bahagian jentera yang berupa tali yang mengikat gerak dengan dagu supaya teguh.

Tali Kelindan

Bahagian rahat yang terdiri daripada gelung tali yang menghubungkan daun rahat dengan kekisi dan memutarkan kekisi apabila daun rahat dipusingkan.

Tali Pemotong

Perkakas yang digunakan untuk memotong tanah liat atau memisahkan barangan yang melekat di atas mesin lemparan alin

Tali Regang Kek

Bahagian hujung kek yang berupa tali yang diikatkan pada bahagian tengah kayu regang kek dan kayu regang pasung untuk menegangkan benang lungsin.

Tali Ruing

Bahagian ruing yang menghubungkan pasangan daun ruing yang terdiri daripada tali atau dawai bergantung kepada jenis ruing.

Talimbu'

Besi pengorek.

Tampuk Manggis

Bahagian hujung tangkai tempat buah melekat pada buah manggis

Tanah Kain

Warna latar (natar) kain.

Tanah Kodot

Tanah.

Tangan Rahat

Bahagian rahat yang berupa engkol untuk memutarkan piring rahat atau daun rahat. otek-otek.

Tanggam

Sambungan kayu yang diberi bertakuk-takuk supaya dapat dihubungkan rapat-rapat serta kukuh.

Tanglung

Lampu yang bertutup dengan kertas dan lain-lain; lentera kertas.

Tanur

Dapur atau alat pembakaran untuk memasak jasad tempaan supaya menjadi tembikar. Dapur ini menggunakan bahan bakar seperti minyak, elektrik, gas, kayu dan lain-lain.

Tapak

Bahagian asas yang mula-mula dibuat untuk membina sesuatu produk, contohnya tapak bakul.

Tapak Anian

Bahagian anian yang menempatkan anak anian.

Tapak Rahat

Bahagian rahat yang merupakan papan tebal bentuk ‘T’ yang menjadi tapak tiang rahat dan tiang kekisi.

Tapak Ruing

Bahagian ruing yang merupakan kayu yang menjadi asas untuk menegakkan tiang ruing.

Tappe'

Penepek.

Tarohan (Sbh)

Bahagian alat tenun Iranun yang berupa kayu yang berfungsi untuk menegangkan benang lungsin.

Tawas

Bahan kimia yang berwarna putih dan kelat rasanya; sodium sulfat; bahan yang digunakan untuk mencuci logam

Tegenen (Sbh)

Proses menyikat benang berkanji sehingga kering pada bintalah.

Tekanan (Impression)

Kaedah menekan acuan / blok bercorak untuk mendapatkan kesan tekanan atau impresi corak ke atas permukaan fabrik.

Tekat

Tenunan untuk membuat corak pada kain tenun yang diberikan berdasarkan kiraan urat benang lungsim yang disalut sebagai tekat tiga atau lima urat benang lungsin yang disekat sebagai tekat lima. Tenun corak tekat tiga lebih halus jika dibandingkan dengan tekat lima. tekat tiga, tekat lima.

Tekat Gubah

Seni tekat benang yang menggunakan benang emas dan benang perak dengan menekap reka corak mengikut acuan kertas yang ditebuk. Manik dan labuci dijahit untuk dijadikan sebagai hiasan tambahan pada tekat gubah.

Tekat Lima

lih. tekat

Tekat Perada

Sejenis tekat yang dihasilkan menggunakan kertas perada emas tulen yang ditebuk dengan motif awan larat atau kerawang dan kemudian ditampal ke atas kain.

Tekat Tiga

lih. tekat

Teknik Gosokan (Rubbing)

Kaedah menekap kertas ke atas permukaan bercorak, kemudian digosok dengan bahan berwarna seperti pensil atau arang untuk menghasilkan kesan bercorak dipaparkan ke atas kertas

Tekstur

Rupa dan rasa kain yang disebabkan oleh susunan gentian dan cara kain itu ditenun atau dikait. Tekstur boleh jadi licin, kasar, berkilat, kusam, tebal, nipis, lembut, atau keras, bergantung pada jenis serat dan proses pembuatan. Daging kain.

Telepuk

Seni telepuk ialah proses menekap hiasan bunga menggunakan kepingan atau perada emas yang dilekatkan di atas permukaan kain seperti kain benang halus, kain tenun atau kain batik. Kebiasaannya dibuat kepada kain yang telah digerus.

Telinga Kekisi

Lubang yang dibentuk daripada jalinan buluh, rotan atau dawai untuk menempatkan kekisi pada bahagian atas tiang kekisi.

Tembaga

Sejenis logam yang mempunyai simbol Cu dan nombor atom 29 di dalam jadual berkala unsur kimia. Ia merupakan logam lembut yang mempunyai pengaliran elektrik yang sangat baik dan digunakan secara meluas sebagai pengalir elektrik, bahan pembinaan, dan sebagai campuran sesetengah aloi. Kuprum.

Tembikar Mambong

Tembikar Mambong mendapat namanya dari tempat ia dihasilkan iaitu di Kampung Mambong, Kuala Krai, Kelantan. Tembikar Mambong memiliki ciri-ciri butiran berkilau pada badan tembikar yang terhasil daripada campuran pasir halus dari dasar sungai.

Tembikar Tembeling

Tembikar yang diperbuat daripada tanah liat halus yang mempunyai motif unik pada permukaan tembikar. Produk ini masih diusahakan hingga kini oleh pengusaha tembikar tembeling yang berada di sekitar Sungai Tembeling iaitu Kampung Pasir Durian, Jerantut, Pahang. Produk ini terdiri daripada terenang, belanga, bekas perasapan, kendi, pasu dan pelbagai lagi.

Tempayan

Bekas yang diperlukan untuk merendam bilah pandan mengkuang yang telah dijangka. Proses merendam dilakukan untuk menanggalkan warna hijau pandan mengkuang.

Templat

Bentuk yang dipotong daripada kertas dan kayu untuk digunakan sebagai contoh bagi menghasilkan bentuk yang sebenar pada bahagian produk.

Tengkolok

Perhiasan kepala yang diperbuat daripada kain songket bersulam benang emas dan digunakan untuk menutup kepala dan menjadi pelengkap kepada busana lelaki Melayu tradisional.Tengkolok dikenali juga sebagai tanjak, destar, setangan atau bulang hulu.

Tenunan Dastar

Sejenis kain tenunan etnik masyarakat Sabah yang juga dikenali sebagai kain tubau. Tenunan ini menggunakan benang kapas yang dicelup dengan pewarna seperti warna hitam, putih, merah, kuning dan hijau yang merupakan warna-warna tradisional suku kaum Bajau. Kain ini digunakan oleh kaum lelaki Bajau sebagai tanjak (pudong) yang dipakai bagi menghadiri upacaa kebesaran, perayaan atau majlis perkahwinan.

Tenunan Mugah

Sejenis kain tenunan masyarakat Sabah yang sinonim dengan suku kaum Irranun dan Rungus. Suku kaum Irranun bertanggungjawab menenun dan menjadi pembekal utama kain tenun mugah di Sabah. Kain benang kapas ini mejadi pakaian kebesaran suku kaum Rungus terutama semasa majlis perkahwinan dan perayaan.

Tenunan Sambitan

Sejenis kain tenunan etnik masyarakat Sabah. Proses menenun kain sambitan sama seperti menenun kain dastar dan mugah. Keunikan tenunan ini terletak pada motif dan reka coraknya seperti bunga kapas, bunga teratai, bunga kundur, motf bintang, sauh,pucuk rebung dan lain-lain.

Tepak Sireh

Kotak kecil daripada kayu untuk bekas sireh, atau diperbuat daripada tembaga

Teraan

Kayu tera atau meterai menghasilkan hiasan dengan menera motif pada permukaan jasad tempaan.

Terenang

Sejenis kendi air yang bertutup.

Terompah

Sejenis selipar atau kasut yang diperbuat daripada kayu yang ringan manakala penyendal kaki pula diperbuat daripada bahan plastik atau getah.

Tetuang

Sejenis alat muzik yang diperbuat daripada tanduk lembu atau tanduk kerbau. Alat muzik ini ditiup seperti trumpet dan digunakan para nelayan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia sebagai alat perhubungan. Selain itu juga digunakan petani untuk menghalau haiwan yang merosakkan tanaman.

Thumbling

Mesin untuk mencuci dan mengilatkan logam.

Tiang Anyaman

Stuktur asas sokongan yang membolehkan rotan pulur / rotan anyam dilalukan secara berselang-seli (menganyam) ke atasnya.

Tikar Mengkuang

Hamparan yang diperbuat daripada daun pandan dan mengkuang yang dianyam dan digunakan sebagai alas duduk, tidur dan lain-lain.

Tinan

Bahagian badan kuron.

Tingkah

Sejenis alat muzik yang diperbuat daripada tembaga dan dimainkan dalam persembahan caklempong.

Tirus

Makin kecil ke hujung.

Tombol

Pembuka atau pemutar yang terdapat pada pintu, mesin dan lain-lain

Touwou

Bahagian dasar atau bawah kuron.

Tracing

Melukis, menekap menggunakan kertas surih

Tradisi

Sesuatu kebiasaan adat, kepercayaan) yang kekal turun-temurun, sesuatu yang sudah menjadi amalan yang sudah sebati dengan masyarakat

Tradisional

Bersifat atau bercorak tradisi

Tradisional

Cara pengamalan yang diwarisi secara turun-temurun.

Trend

Arah; haluan; hala

T-rest

Salah satu komponen mesin larik tempat meletak pahat yang digunakan untuk memangkas

Tripoli

Bahan yang digunakan menghilangkan calar-calar halus dan mengilatkan logam

Tukang

Orang yang pandai dalam sesuatu kerja tangan

Tugtugan

Bekas perasap.

Turn Table

Piring putar/ cakera putar

Turung

Penutup belanga.

Udang

Motif kontemporari berunsur binatang hidupan air yang berbentuk udang telah diabstrakkan

Ufti

Persembahan yang wajib dibayar kepada raja atau negara yang berkuasa secara tahunan.

Ukiran Tebuk Tembus

Ukiran tebuk tembus adalah proses menebuk permukaan kepingan papan dengan menggunakan gerudi, gergaji atau peralatan mengukir yang bersesuaian bentuk-bentuk bunga atau corak sehingga menembusi kepingan papan tersebut. Ukiran tebuk tembus ini banyak terdapat pada binaan rumah-rumah lama seperti di bahagian selasar, lambur, dinding, pintu, perabot dan mimbar masjid. Antara reka corak atau bentuk bunga ukir yang sering digunakan ialah awan larat, kerawang kaligrafi dan simetri.

Ukiran Tiga Dimensi

Ukiran tiga dimensi adalah ukiran yang dibuat dalam bentuk yang dapat dihayati dalam pelbagai sudut. Ukiran tiga dimensi biasanya dalam bentuk arca, peralatan pertanian, peralatan rumah tangga, congkak, tiang larik dan sebagainya.

Ukiran Timbul

Proses membuat atau mengukir reka corak di atas permukaan papan atau kayu. Terdapat dua teknik ukiran timbul iaitu bersilat dan tidak bersilat. Teknik ukiran ini banyak terdapat pada dinding, struktur utama seni bina, perabot dan sebagainya.

Varnis

Sejenis cat berminyak yang terdiri daripada campuran pelarut dan bahan perekat yang digunakan untuk memelihara dan mengilatkan kayu atau rotan.

Variasi

Berlainan dan berbeza dari segi bentuk, ciri-ciri dan keadaan.

Wakid

Sejenis bakul Iban yang digunakan untuk membawa barang.

Warisan

Sesuatu yang diwarisi secara turun-temurun.

Warna Garang

Warna yang jelas, terang dan bercahaya, sangat cerah. la biasanya mengandungi warna merah, jingga atau kuning.

Warna Lembut

Warna yang mempunyai campuran warna putih dan kelihatan lembut seperti merah jambu, biru muda dan sebagainya.

Warna Sejuk

Warna yang dapat mewujudkan suasana sejuk, seperti warna biru, hijau dan ungu.

Watoh

Seketul batu bulat yang dimasukkan ke dalam lubang silinder untuk memulakan proses pembuatan badan dan dasar pasu kuron.

Wau

Sejenis permainan tradisional yang diperbuat daripada kertas, buluh dan rotan. Keunikannya terletak pada kehalusan bunga yang diukir serta pengolahan motif dan warna.

Wawaron

Sebatang kayu yang mempunyai tangkai atau pemegang bulat digunakan dalam proses pembuatan pasu kuron.

Wax Sealer

Lilin berwarna merah (menjadi keras setelah dipanaskan untuk tujuan mengikir.

Wooden Mallet

Tukul Kayu.

Bekarah (Sbh)

Alat untuk melilit benang berkanji yang kering supaya memudahkan benang tersebut digulung pada lebeda.

Belira

lih. belira besar.

Belira Angkat Butang

lih. belira besar