Adiguru Kraf Songket
Wan Manang Bin Wan Awang
Nama : Wan Manang bin Wan Awang
Bidang Kraf : Textile
Adiguru Kraf: Songket
Negeri : Terengganu
Tarikh Lahir : 15 Julai 1954
Lantikan Adiguru Kraf: Tahun 2019
Beliau memiliki kepakaran dalam menghasilkan pelbagai motif dan reka corak songket tradisional dan kontemporari dengan teknik coban (sulam) serta teknik ikat (limar)
Wan Manang bin Wan Awang dilahirkan pada 15 Julai 1954 di Manir, Kuala Terengganu, Terengganu. Beliau mempelajari dan mewarisi kemahiran dan kepakaran menenun melalui ibu dan neneknya. Keistimewaan tenunan yang dihasilkan dapat dilihat pada rekaan corak songket seperti corak bertabur, berdiri dan corak penuh yang menggunakan teknik coban (sulam) serta ikat (limar). Kain songket tradisional dan kontemporari yang dihasilkan mempunyai gabungan pelbagai motif seperti bunga cengkih, tampuk manggis, bunga kesemak, bunga pending, bunga tiga dara, lawi ayam, siku keluang dan pucuk rebung. Pada tahun 2024, beliau dianugerahkan Master Artisan Male di 7th International Craft Awards.
Wan Manang bin Wan Awang was born on 15 July 1954 in Manir, Kuala Terengganu. He studied and inherited the skill and expertise in weaving from his mother and grandmother. The regal specialty of his technique is evident through the songket designs implemented such as the scattered, standing and full designs that use the coban technique (embroidery) and ikat (limar). The traditional and contemporary songket cloths produced displays a combination of various motifs such as bunga cengkih, tampuk manggis, bunga kesemak, bunga pending, bunga tiga dara, lawi ayam, siku keluang and pucuk rebung. In 2024, he was conferred with the award of Master Artisan Male at the 7th International Craft Awards.
PENGENALAN
Encik Wan Manang Bin Wan Awang telah dilahirkan pada 15 Julai 1954 di Kampung Pulau Bahagia, Manir, Kuala Terengganu. Beliau merupakan anak ke empat dari tujuh orang adik-beradik, dari pasangan Haji Wan Awang bin Wan Long dan Hajah Kembang binti Zainal. Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Salmiah binti Musa dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata. Setelah tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 1974, beliau telah menceburi bidang tenunan songket secara kecil-kecilan, kesinambungan daripada nenek dan ibunya – penenun songket dari Kampung Pulau Musang, Kuala Terengganu. Sejak kecil lagi beliau telah didedahkan dalam keluarga “cottage industry” tenunan ini.
Dalam masa yang sama pada tahun 1977 beliau telah berkhidmat sebagai Juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kuala Terengganu. Setelah habis waktu berkerja, samada di sebelah petang, malam ataupun hari cuti hujung minggu beliau akan menumpukan pula urusan di bidang tenunan songket, dengan dibantu oleh ibu dan isteri. Oleh kerana mempunyai minat yang mendalam terhadap bidang tenunan songket dan dengan adanya tunjuk ajar dari ibunya ketika itu, dorongan kuat daripada kawan- kawan dan keluarga serta pengalaman yang sedia ada dalam bidang tenunan songket, di samping mempunyai modal yang mencukupi dan dengan pelanggan yang bertambah ramai dari hari ke hari, faktor kurangnya persaingan serta kreativiti dalam bidang tenunan songket ini, maka pada tahun 1990, beliau telah meletak jawatan sebagai Juruteknik di Jabatan Kerja Raya, Negeri Terengganu bagi menumpukan sepenuh masa dalam bidang perusahaan tenunan songket di samping mencari strategi untuk memajukan dan memartabatkan lagi industri warisan Tenunan Songket negara sehingga kini.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Mempunyai kepakaran dalam pembuatan songket dan limar. Keistimewaan produk yang beliau hasilkan adalah dari segi kepelbagaian kualiti, rekacorak tersendiri, corak tradisional dan kontemporari yang sentiasa diperbaharui mengikut permintaan semasa, kajian dan pembangunan (R&D), kawalan kualiti (QC) yang sentiasa dititikberatkan, kombinasi padanan warna dan pengawalan harga yang berpatutan. Beliau sentiasa mendapat kepercayaan dan undangan media cetak (akhbar dan majalah) dan media eletronik (RTM, TV3, TV9, TVi) bagi membicarakan / bertanyakan tentang Tenunan Songket. Sentiasa menjadi tempat rujukan pelajar-pelajar IPTA dan IPTS berkaitan dengan Tenunan Songket.
Beliau seorang yang mudah mesra dan sentiasa menerima kunjungan daripada para pelajar IPT yang datang untuk membuat kajian dan penyelidikan songket yang dihasilkan. Beliau juga mewariskan pengetahuan dalam pembuatan songket kepada anaknya. Penggunaan songket semakin meluas dan beliau mempelbagaikan produk berbentuk hiasan dan juga hadiah korporat seperti hiasan dinding, alas meja, alas pinggan, sampul kusyen, sampul bantal, alas cadar, dan lain-lain lagi. Perkembangan pasaran adalah semakin baik melalui penerimaan dari kalangan pelbagai peringkat pengguna samada dari golongan Melayu ataupun lain-lain bangsa dari dalam dan juga luar negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia dan Negara-negara Eropah.
PENCAPAIAN
Beliau seorang yang bersungguh-sungguh di dalam mempertahankan serta mengekalkan produk songket daripada pupus atau dilupakan. Songket hasil tangan beliau sering mendapat tempahan dari para pelanggan tetap sebagai sokongan terhadap beliau yang telah lama berkecimpung dalam mempromosikan songket keluaran syarikatnya. Oleh kerana kesungguhan beliau dalam mempertahankan pembuatan songket, beliau telah dianugerahkan Adiguru Kraf Songket pada tahun 2019.




