Adiguru Kraf Pertukangan Perak
Allahyarham Mohamed @ Mohd Daud bin Yusoff
Nama : Allahyarham Mohamed @ Mohd Daud bin Yusoff
Bidang Kraf : Metal Products
Adiguru Kraf : Pertukangan Perak
Negeri : Perak
Tarikh Lahir : 3 January 1946
Lantikan Adiguru Kraf: Tahun 2011
Reka corak yang dihasilkan oleh beliau menggabungkan motif tradisional dan kontemporari
Mohamed Daud bin Yusof dilahirkan pada 3 Januari 1946 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau mahir menghasilkan seni kraf perak dengan olahan motif dan reka corak tradisional dan kontemporari dengan menggunakan teknik kepingan, spinning, pintalan dawai perak (filigree) dan pahat. Kehalusan dan kekemasan hasil kerja tangan beliau sering dijadikan cenderamata negara. Beliau telah meninggal dunia pada 1 November 2023.
Born on 3 January 1946 in Kota Bharu, Kelantan, the late Mohamed Daud bin Yusof was a master silversmith who could amalgamate traditional and contemporary motifs and designs exploiting sheeting, spinning, silver wire twisting (filigree) and chasing techniques. The intricate finesse of his handiwork is highly priced and often used as national souvenirs. He passed away on 1 November 2023.
PENGENALAN
Allahyarham Mohd Daud bin Yusoff dilahirkan pada 3 Januari 1946 di Kota Bharu, Kelantan. Anak kepada pasangan Yusoff bin Awang Kechik dan Minah binti Hassan ini menamatkan pendidikan tertinggi beliau pada peringkat sekolah menengah. Mohd Daud Yusoff mempelajari kemahiran pertukangan perak daripada kedua-dua ibu bapanya sendiri. Beliau mula berkecimpung dalam bidang pertukangan perak ini ketika berusia belasan tahun lagi selepas beliau menamatkan persekolahan. Beliau bergiat secara aktif dalam bidang pertukangan perak sejak beliau berumur 28 tahun.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Beliau sering menggubah dan menggunakan reka corak yang berunsurkan motif flora untuk disesuaikan dengan bentuk produk kraf mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan. Reka corak yang digubah oleh Mohd Daud Yusoff menggabungkan pelbagai motif tradisional dan kontemporari sentiasa mendapat perhatian daripada penggemar kraf perak dan menjadi ikutan tukang-tukang perak yang lain.
Encik Mohd Daud turut menggunakan alatan moden dalam seni pertukangan perak kerana alatan ini dapat mempertingkatkan lagi proses kerja selain daripada menjaga kualiti produk. Pada masa yang sama, beliau juga menggunakan kaedah tradisional dalam pembuatan produk perak ini. Peralatan yang digunakan oleh beliau adalah seperti Plate Rolling Machines, Stamping Machines dan Flexible Shaft.
PENCAPAIAN
Beliau sering mendapat tempahan untuk membuat cokmar dari Institut Pengajian Tinggi dan Majlis Daerah Tempatan kerana kekemasan hasil tangannya. Selain itu, beliau turut dijemput untuk menjadi jurudemo bagi aktiviti dalam dan luar negara anjuran Kraftangan Malaysia serta agensi-agensi berkaitan seperti di Myanmar, Brunei, China dan Thailand. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam bidang pertukangan perak ini, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai seorang Adiguru Kraf Pertukangan Logam pada tahun 2011.





