ADIGURU KRAF SULAMAN NYONYA

Mendiang Lim swee kim

Nama : Mendiang Lim Swee Kim
Bidang Kraf : Textile
Adiguru Kraf : Sulaman Nyonya
Negeri : Pulau Pinang
Tarikh Lahir : 17 Jun 1933
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 2006

Beliau juga pernah memberi tunjuk ajar kaedah sulaman kepada pelajar dari luar negara seperti Korea Selatan, Jepun, Mongolia, Afrika dan Amerika Syarikat

Mendiang Lim Swee Kim atau lebih dikenali sebagai Auntie Kim dilahirkan pada 17 Jun 1933 di Pasir Mas, Kelantan. Beliau menguasai kemahiran menyulam seawal usia 15 tahun dengan mewarisi daripada ibunya. Auntie Kim meninggal dunia pada 6 April 2014. Beliau mahir menghasilkan sulaman nyonya dengan kepelbagaian motif dan reka corak. Lebih daripada 1,000 rekaan dan motif yang berunsurkan flora, fauna, abstrak dan figura manusia telah dihasilkan. Antara produk yang dihasilkan ialah sulaman pada ceongsam dan juga baju kebaya.

 

The late Lim Swee Kim fondly called Auntie Kim was born on 17 June 1933 in Pasir Mas, Kelantan. She mastered the art of embroidery at the tender age of 15 by inheriting the profound knowledge from her mother. Auntie Kim passed away on 6 April 2014. She is an artisan in the craftsmanship of nyonya embroidery featuring an array of motifs and designs. She has created over 1,000 designs and motifs featuring the elements of flora, fauna, abstract and human figurines. Among the embroidery produced by her are such as the embroidery on cheongsam and kebaya.


PENGENALAN

Seni Sulaman Nyonya sering menghiasi baju kebaya yang menjadi pakaian wanita keturunan Baba. Salah seorang pakar sulaman ini ialah Mendiang Puan Lim Swee Kim yang dilahirkan di negeri Kelantan pada 17 Jun 1933. Setelah berkahwin beliau menetap di Pulau Pinang dan mengusahakan kerjatangan sulaman ini bagi menambah pendapatan keluarga. Beliau berkemahiran menyulam pakaian cheongsam dan juga kebaya.

Mula mempelajari seni sulaman sejak beliau berusia lapan tahun dan mewarisinya daripada ibu beliau. Pada usia 15 tahun, beliau telah menguasai kemahiran menyulam dengan menggunakan mesin jahit kaki. Sejak itu beliau menceburi bidang ini secara sepenuh masa.

Pada tahun 1965 beliau dibantu oleh beberapa orang pekerja bagi menyiapkan tempahan sulaman yang semakin bertambah. Namun sekitar tahun 1986, permintaan terhadap tekstil sulaman mula berkurang. Walaubagaimanapun keadaan ini tidak pernah mematahkan semangat beliau dalam meneruskan legasi warisan seni Sulaman Nyonya ini.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Pada tahun 2000 permintaan terhadap kebaya kembali meningkat apabila Buku Kebaya Nyonya telah dilancarkan oleh Allahyarhamah Datin Paduka Seri Endon Mahmood. Beliau merupakan antara pelanggan kenamaan Mendiang Puan Lim yang selalu membuat tempahan pakaian kebaya.

Beliau juga telah banyak memberi dorongan dan inspirasi kepada Mendiang Puan Lim untuk meneruskan kerjaya beliau. Tempahan yang diterima juga semakin meningkat sehingga mampu mencecah sebanyak 20 helai kebaya setiap bulan.

Pada tahun 2005 beliau pernah mendapat anugerah daripada Muzium Singapura. Berkat usaha gigih, beliau telah berjaya membuka sebuah kedai sulaman di Gurney Plaza, Pulau Pinang yang dikenali sebagai Kim’s Fashion. Beliau turut mendapat liputan publisiti yang meluas melalui media masa tempatan.

Sepanjang tempoh penglibatannya dalam bidang Sulaman Nyonya, beliau telah menghasilkan lebih dari 1,000 rekaan motif yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, bunga, binatang, buah-buahan dan juga bermotifkan abstrak.

PENCAPAIAN

Mendiang Puan Lim Swee Kim turut memberikan latihan dan bimbingan kepada kumpulan pelapis bagi mengekalkan seni warisan ini.

Pelatih beliau terdiri daripada beliawanis yang datang dari seluruh negara. Selama lebih empat dekad beliau telah melatih lebih daripada 50 pelajar dan ada di antara mereka yang telah menjadi pengusaha sulaman yang berkaliber. Beliau juga merupakan jurutunjuk sulaman kepada kumpulan Pelatih dalam Skim Perantisan Kraf Warisan anjuran Kraftangan Malaysia.

Beliau juga pernah memberi tunjuk ajar sulaiman kepada pelajar dari luar negara seperti Korea Selatan, Jepun, Mongolia, Afrika dan Amerika Syarikat. Pada tahun 2004 beliau telah menerima seorang pelatih dari Amerika Syarikat yang berjaya menguasai kemahiran menyulam dalam masa dua minggu.

Pelatih bekenaan, Dr. Jesicca Krakow telah mempelajari teknik sulaman selama 8 jam setiap hari dengan bimbingan Mendiang Puan Lim. Hasilnya, beliau berjaya menyulam sehelai baju kebaya sebelum berlepas pulang ke Amerika Syarikat.

Mendiang Puan Lim Swee Kim telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Sulaman Nyonya pada tahun 2006 oleh Kraftangan Malaysia. Pada usia 81 tahun, tokoh yang banyak menyumbang bagi kesinambungan legasi warisan seni Sulaman Nyonya negara ini telah meninggal dunia pada tanggal 6 April 2014.

GALERI


VIDEO