Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga

Allahyarhamah Hawa binti Ngah Salam

Nama : Allahyarhamah Hawa binti Ngah Salam
Bidang Kraf : Earth-based Products
Adiguru Kraf : Tembikar Pulau Tiga
Negeri : Perak
Tarikh Lahir : 5 Mei 1934
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 1996

Beliau merupakan pembuat labu sayong yang mengasaskan teknik bunga tampal pada hiasan tembikar

Dilahirkan pada 5 Mei 1934, Allahyarhamah Hawa binti Ngah Salam merupakan tokoh kraf seramik yang mahir dalam penghasilan tembikar secara tradisional dan moden. Mewarisi kemahiran pembuatan tembikar daripada keluarganya yang telah berlangsung selama enam generasi, beliau memiliki kepakaran tinggi dalam pemilihan bahan, pemprosesan tanah liat serta pembentukan pelbagai produk tembikar. Keunikan karyanya terserlah melalui gabungan teknik tradisional dan moden dalam penghasilan produk seperti Labu Sayong, labu gelugor, labu puchong, pasu bunga dan pelbagai barangan hiasan seramik. Kreativiti beliau turut dizahirkan melalui penciptaan teknik bunga tampal dalam hiasan tembikar serta pengolahan motif dan reka bentuk yang memenuhi cita rasa semasa tanpa mengabaikan identiti warisan. Beliau juga aktif mempromosikan seni kraf tembikar melalui demonstrasi, pameran dan pelbagai program anjuran agensi kerajaan serta swasta. Kepakaran, sumbangan dan dedikasi beliau dalam memartabatkan seni kraf tembikar Pulau Tiga telah diiktiraf apabila dilantik sebagai Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga pada tahun 1996. Beliau meninggal pada 18 Mei 2022.

 

Born on 5 May 1934, the late Hawa binti Ngah Salam was a distinguished ceramic craft figure renowned for her expertise in producing pottery using both traditional and modern techniques. Inheriting pottery-making skills from a family tradition that had spanned six generations, she possessed extensive expertise in material selection, clay processing, and the crafting of various pottery products. The uniqueness of her work was reflected in the integration of traditional and modern techniques in the creation of products such as Labu Sayong, labu gelugor, labu puchong, flower vases, and a wide range of ceramic decorative items. Her creativity was further demonstrated through the introduction of the bunga tampal technique in pottery decoration, as well as the adaptation of motifs and designs that catered to contemporary tastes while preserving traditional heritage. She was also actively involved in promoting pottery craftsmanship through demonstrations, exhibitions, and various programmes organised by government agencies and private organisations. In recognition of her expertise, contributions, and dedication to elevating the art of Pulau Tiga pottery, she was appointed as Master Craftsman of Pulau Tiga Pottery in 1996. She passed away on 18 May 2022.


PENGENALAN

“Sejarah silam labu sayong serba sedikit cuba menyingkap teknologi pembuatan tangan masyarakat Melayu. Menurut cerita penduduk-penduduk Kampung Kepala Bendang, Kuala Kangsar, Perak merupakan asal-usul seramik tanah air bermula dari pedagang-pedagang India dan China yang melewati perkampungan Perak awal abad ke-15. Pedagang ini menyusuri sungai Perak dan membuka era perkembangan labu sayong.”

Demikianlah ungkapan awal yang diutarakan oleh Puan Hawa binti Ngah Salam seorang pencipta warisan seni dan pakar dalam pembuatan labu sayong. Mula melibatkan diri dalam pembuatan labu sayong sejak berusia 15 tahun lagi.

Puan Hawa binti Ngah Salam dilahirkan pada 5hb Mei 1934 merupakan antara tokoh yang mahir dalam pembuatan labu sayong secara tradisional dan juga moden. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak sehingga darjah 3. Beliau juga mendapat pendidikan informal dari ayah dan ibu secara teratur dan didikan yang diterima mengajar beliau menjadi seorang wanita yang berdisiplin dan bertekad untuk maju. Pendidikan ini juga menjadikan diri beliau sentiasa berusaha memajukan diri dan belajar mencintai kraf warisan labu sayong.

Puan Hawa berasa bertuah mempunyai seorang ibu yang mempunyai kemahiran dalam pembuatan labu sayong. Warisan yang Puan Hawa terima merupakan warisan 6 keturunan. Puan Hawa bertekad biarlah warisan seni kebangsaan negeri Perak ini kekal diwarisi oleh salasiah keturunan beliau.

Cintanya kepada dunia seni kraf seramik mendorongnya untuk sentiasa berfikir memperbaiki dan mempelbagaikan mutu produknya mengikut arus sezaman. Beliau bukan sahaja mahir dalam pembuatan tradisional tetapi juga cekap dalam penggunaan teknik moden sehingga berupaya menghasilkan 7 hingga 10 buah biji labu dalam sehari.

DAYA KREATIVITI DAN INOVASI

Puan Hajah Hawa mempunyai daya kreativiti yang tinggi dalam setiap aspek seni kraf seramik bermula dari bahan, pemprosesan hingga ke bentuk produk. Jari-jemarinya yang halus berseni dalam membentuk labu telah menghasilkan produk yang begitu menarik, cantik dan kemas ditambah lagi dengan kombinasi antara teknik moden dengan tradisional.

Beliau satu-satunya pembuat tembikar yang mengasaskan teknik bunga tampal dalam hiasan tembikar. Beliau turut mengambil kira citarasa pengguna yang mulai berubah, Puan Hajah Hawa telah menghasilkan labu sayong sebagai barangan perhiasan yang diserikan dengan gabungan motif asal bersama hiasan bunga yang direka sendiri bagi meningkatkan mutu produk kraf.

Beliau turut mengamalkan beberapa petua lama misalnya semasa menggali tanah, beliau akan memastikan ianya betul-betul baik dan berkualiti. Bukan sahaja mahir dalam pembuatan labu sayong tetapi beliau juga menghasilkan labu gelugor, pasu bunga, labu puchong dan pelbagai barang hiasan seramik. Hasil kerja tangan beliau telah mendapat tempat di kalangan pencinta seni, agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.

PENGALAMAN, PENGLIBATAN DAN PENCAPAIAN

Dikenali sebagai seorang yang aktif, kreatif dan berdisiplin dalam menghasilkan kerja seni kraftangan maka tidak hairan jika hasil produknya mendapfat perhatian dari orang ramai dan juga pihak akhbar yang sentiasa ingin menulis rencana mengenainya.

Puan Hajah Hawa dianggap sebagai Tokoh Kraf Seramik di Persada Seni bagi mereka yang menghargai dan menilai seni dan jasa beliau. Berikut adalah pencapaian beliau selama penglibatannya dalam bidang seni kraf seramik :

i.     Dilantik sebagai Adiguru Kraf Seramik oleh Kraftangan Malaysia (1996)
ii.    Penghargaan WICITRA (1984)
iii.   AJK Keselamatan dan Kemajuan Kampung Gajah, Perak
iv.   Pameran anjuran Universiti Malaya, Muzium Negara, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
v.    Produk beliau turut di pamerkan di Koleksi tetap di Muzium Negara, Muzium Taiping, Muzium Negeri Kedah dan beberapa hotel terkemuka tanahair.
vi.   Rencana Akhbar : 1987 – “Hawa Mewarisi Kesenian Enam Keturunan” Berita Harian.
vii.   Rencana Akhbar : 1973 – “A Display Of Malay Handicraft” The Star.
viii.  Rencana Akhbar : 1977 – “Dari Jari-jari Yang Lembut Terciptalah Labu Tanah Yang Bagus” (sebuah akhbar yang tidak dinyatakan)
x.  Rencana Akhbar : 1976 – “Feats At Clay” The Malay Mail.

Selain menghasilkan dan memasarkan barangan kraf, beliau juga telah mengikuti program-program yang dianjurkan oleh agensi kerajaan atau swasta sebagai salah satu usahanya untuk memperkenalkan produk-produk barangan kraf tempatan pada masyarakat setempat dan luar.

Kemahiran dan kreativitinya dalam menghasilkan barangan yang berkualiti dan mempunyai nilai-nilai estetika yang tinggi ini mendapat liputan daripada media tempatan. Kerjasama beliau yang sentiasa diberikan kepada pihak kerajaan atau swasta dalam pelbagai perkara merupakan satu pengorbanan yang tidak ternilai.

Beliau turut mengadakan demonstrasi pembuatan labu Pulau Tiga serta turut menyertai pameran pelancongan anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan Kraftangan Malaysia. Semangat beliau yang sentiasa aktif dan peka pada perkembangan industri kraf seramik dapat dijadikan contoh dan inspirasi kepada pelapis muda untuk menceburi bidang ini.

Pada tahun 1984, beliau menerima anugerah penghargaan WICITRA anjuran Kraftangan Malaysia. Segala jasa dan usaha murninya diberi pengiktirafan oleh Kraftangan Malaysia dengan melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tembikar Pulau Tiga pada tahun 1996.

GALERI


Video