Adiguru Kraf Tenunan Asli Sabah (Rungus)
Mendiang Rubangki binti Mabok
Nama : Mendiang Rubangki binti Mabok
Bidang Kraf : Tekstil
Adiguru Kraf : Tenunan Asli Sabah (Rungus)
Negeri : Sabah
Tarikh Lahir : 30 Disember 1942
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 1990
Setiap motif dan reka corak dihasilkan berdasarkan alam semulajadi terutamanya tumbuh-tumbuhan dan binatang
Rubangki binti Mabok dilahirkan pada 30 Disember 1942 di Kampung Guaman, Kudat, Sabah. Pada usia 12 tahun, beliau telah mahir dalam memproses benang daripada kapas secara tradisional. Motif yang menjadi identiti kain tenunan beliau adalah kinodut-kodut (motif kena cubit), binugang (burung), inugarang (biawak kecil), kinulit (kulit kayu), linapung (ular sawa) dan mansimong (hantu). Keunikan hasil tenunan beliau memaparkan keindahan flora dan fauna serta melambangkan peradaban kaum Rungus. Beliau juga berkemahiran dalam penghasilan tenunan mugah yang terkenal dari kaum Iranun di Sabah.
Rubangki binti Mabok was born on 30 December 1942 in Kampung Guaman, Kudat, Sabah. At the age of 12, she has become adept at processing threads from cotton in the traditional way. The motifs that become the identity of her woven fabric are kinodut-kodut (pinched motifs), binugang (birds), inugarang (small lizards), kinulit (bark), linapung (snakes) and mansimong (ghosts). The uniqueness of her woven products displays the beauty of the flora and fauna, as well as symbolises the civilisation of the Rungus. She is also skilled in the production of mugah weaving which is famous among the Iranun in Sabah.
#Rungus
PENGENALAN
Puan Rubangki dilahirkan dalam keluarga yang mahir menghasilkan Tenunan Rungus. Ibunya merupakan seorang penenun kain tradisi masyarakat Rungus yang terkenal dan telah mendidik beliau sejak kecil lagi dalam bidang kemahiran ini.
Walaupun tidak pernah mendapat pendidikan formal, kreativiti dan kesungguhan beliau dalam mengusahakan Tenunan Rungus telah meletakkan beliau di antara penenun kain tradisi Sabah yang disegani.
Beliau berkemahiran membuat rekaan motif sendiri untuk kain-kain yang ditenun. Setiap motif dan reka corak Puan Rubangki berdasarkan alam semulajadi terutamanya tumbuh-tumbuhan dan binatang.
Proses menghasilkan rekaan bermula apabila beliau duduk menenun. Beliau melakar reka corak dan motif melalui imaginasi yang kemudian digambarkan terus melalui benang-benang yang ditenun.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Keistimewaan tenunan beliau terletak pada aspek kehalusan dan kepelbagaian reka corak. Reka corak ini diwarisi daripada ibunya secara turun temurun dan ia tersimpan dalam pemikiran beliau (tidak dicatat atau dilakar di dalam buku).
Antara motif-motif yang memperlihatkan identiti kain tenunan Puan Rubangki seperti motif kinodut-kodut (motif kena cubit), binugang (burung), inugarang (biawak kecil), kinulit (kulit kayu) linapung (ular sawa) dan mansimong (hantu).
Secara tradisi, untuk menghasilkan sehelai kain rungus, Puan Rubangki perlu menyediakan benang untuk ditenun. Puan Rubangki mengutip kapas yang ditanam dan kemudian dipintal menjadi benang. Benang-benang ini kemudiannya diwarna menggunakan warna semulajadi yang diperolehi dari daun tarum, kulit kayu sepang dan kunyit.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Tenun rungus biasanya dijadikan sebagai pakaian lelaki dan wanita rungus terutama semasa ketika menyambut acara keagamaan, perayaan, dan majlis perkahwinan.
Beliau juga mahir menghasilkan Tenunan Mugah yang terkenal dari suku kaum Irranun di Sabah. Beliau turut menyertai program promosi anjuran beberapa agensi kerajaan, swasta termasuk Kraftangan Malaysia seperti Pameran dan demonstrasi sempena Pesta Keamatan di Kota Kinabalu, Pameran dan Promosi sempena Fiesta Muzium Sabah serta Pameran di Universiti Sabah Malaysia.
Beliau turut menyumbang jasa dalam mengekal seni tenunan ini. Beliau memberi tunjuk ajar kepada penduduk setempat dan juga individu yang berminat. Diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Tenunan Rungus pada tahun 1990 atas sumbangan dan kecemerlangan beliau dalam bidang tenunan Rungus.





