TOKOH KRAF NEGARA

ADIGURU KRAF TEKATAN BENANG EMAS

HAJAH AZIZAH BINTI MOHAMAD YUSOF

Nama : Hajah Azizah binti Mohamad Yusof
Bidang Kraf : Tekstil
Adiguru Kraf : Tekatan Benang Emas
Negeri : Perak
Tarikh Lahir : 14 Ogos 1938
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 1995
Lantikan Tokoh Kraf Negara : Tahun 2018

Beliau mahir menghasilkan seni tekatan yang halus dengan menggunakan 2 hingga 7 helai lembar benang emas. Kreativiti beliau terserlah dalam penghasilan motif dan reka corak yang diinspirasikan daripada flora dan alam semulajadi seperti bunga genggam Siti Fatimah, bunga padi, bunga kekwa, paku pakis, pucuk rebung, awan larat dan tulisan khat yang disesuaikan mengikut fungsi produk dan kehendak pelanggan


LATAR BELAKANG PENGLIBATAN

Puan Hajah Azizah binti Mohamad Yusof dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 28 Januari 1938. Beliau mula mendalami kemahiran menghasilkan seni kraf tekatan sejak dari kecil daripada nenek dan ibunya yang merupakan tukang kraf tekatan benang emas untuk keluarga Diraja dan orang-orang kenamaan Negeri Perak. Selepas tamat persekolahan, beliau mempelajari kemahiran seni kraf tekatan secara sepenuh masa sehingga seawal usia 16 tahun, beliau mampu menyiapkan sendiri tempahan yang diterima keluarganya. Setelah berumahtangga, beliau dan keluarganya berpindah ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang terletak berhampiran dengan Istana. Di sanalah beliau mula bergiat dan mengembangkan kemahirannya dengan mengajar masyarakat setempat kemahiran seni kraf tekatan yang beridentiti Negeri Perak. 

Sehingga kini, Hajah Azizah masih terus mengusahakan kraf tekatan benang emas melalui kaedah tradisional iaitu menghasilkan produk sepenuhnya menggunakan tangan sekiranya terdapat tempahan bagi mengekalkan keaslian dan  memelihara nilai estetika sulaman tekatan yang dihasilkan. Beliau mendapat ilham menghasilkan reka corak serta motif daripada flora dan fauna yang terdapat di kawasan sekitar rumahnya dan adakalanya ilham tersebut datang secara spontan. Antara reka corak dan motif yang beliau gunakan dalam  tekatan ialah paku pakis, pucuk rebung, sulur bayung, bunga-bunga padi, anggerik, asam batu, bunga raya, kemboja dan mawar, awan larat serta tulisan khat. Tidak hanya terbatas kepada seni kraf tekatan benang emas, Hajah Azizah juga memiliki kepakaran menghasilkan beberapa jenis seni kraf tekatan iaitu tekat gubah, tekat tindih dan tekat labuci. Beliau sering menghasilkan produk kraf tekat yang digunakan sebagai set bilik tidur, hiasan pelaminan, kelengkapan rumah dan pakaian. 

Dek kecintaannya yang tinggi terhadap seni kraf tekatan, Hajah Azizah tidak putus-putus memenuhi undangan mengadakan pameran, demonstrasi serta mengajar kemahiran kraf tekatan teknik tradisional seperti menulis corak bunga, menebuk empulur dan menekat benang emas, selain itu juga beliau tidak lokek untuk berkongsi kemahiran menekat menggunakan mesin sulaman. Selain itu, beliau turut tidak lokek berkongsi pengetahuan dan kemahirannya dengan para pengkaji dan penyelidik berkaitan seni kraf tekatan. Beliau sering menjadi sumber rujukan para pengkaji dan pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta tentang bidang kraf berkaitan. 

Kehalusan kerja tangan dan ketelitian Hajah Azizah dalam seni kraf tekatan ini sering mendapat perhatian dan tempahan daripada pihak istana. Beliau pernah menerima tempahan daripada keluarga Diraja Negeri Perak, tempahan kelengkapan perkahwinan dari Istana Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan lain-lain negeri, tidak kurang juga tempahan dari negara luar seperti Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Brunei dan Singapura.

Sepanjang penglibatan Hajah Azizah dalam seni kraf tekatan, pelbagai anugerah dan pengiktirafan pernah diterima di atas usaha gigih beliau dalam memastikan seni kraf tekatan ini dipelihara dan dimajukan. Beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 1995 dan 2006, menerima darjah kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 2009 dan Anugerah Tokoh Usahawan Wanita Kuala Kangsar pada tahun 2010. Dengan ketokohan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang seni kraf tekatan, Kerajaan Malaysia melalui Kraftangan Malaysia telah mengiktiraf beliau sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 2018.


GALERI

VIDEO