Adiguru Kraf Sulaman Keringkam
Allahyarhamah Pojiah binti Jaya
Nama : Allahyarhamah Pojiah binti Jaya
Bidang Kraf : Tekstil
Adiguru Kraf : Sulaman Keringkam
Negeri : Sarawak
Tarikh Lahir : 20 Mac 1925
Lantikan Adiguru Kraf :Â Tahun 1987
Antara motif yang digemari oleh beliau adalah bunga mawar, bunga bintang, renda dan tali air
PENGENALAN
Pojiah Jaya telah menceburi bidang kraf sulaman keringkam sejak umur 17 tahun. Beliau mempelajari sulaman dengan ibunya sejak daripada kecil lagi di waktu anak patung mainannya diperbuat daripada kain robia, manakala gelang tangan dibentuk daripada benang kelingkam. Akhirnya, atas dorongan ibu bapa, Pojiah telah menjadikan bidang sulaman kelingkam ini sebagai pekerjaan tetapnya setelah timbul minat yang mendalam terhadap seni sulaman ini.
Kecekapan mengira urat-urat benang ini lama kelamaan membolehkan beliau menguasai sepenuhnya bidang ini semasa berusia 18 tahun.
DAYA KREATIVITI DAN INOVASI
Motif-motif hiasan sulaman yang digemari oleh Pojiah adalah seperti Bunga Mawar, Bunga Bintang, Renda dan Tali Air. Ketekunan dan kegigihan Pojiah telah membawa beliau kepada salah seorang tokoh sulaman kelingkam yang dikenali malah menerima tempahan daripada pembesar negara di Sarawak, Semenanjung dan Brunei.
PENCAPAIAN
Beliau pernah menyertai pertandingan seni sulaman pada tahun 1985 atau 1981 di Dewan Tun Razak, Kuching dan mendapat tempat ketiga dengan mengusulkan kain kelingkam bercorakkan bunga ros tabur bintang, renda dan ada tali air. Di samping itu, beliau turut menjadi pakar rujuk mengenai sulaman kelingkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga Muzium Negeri Sarawak. Bagi menghargai jasa dan sumbangannya dalam seni warisan ini, Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Sulaman Kelingkan pada tahun 1987. Pojiah telah meninggal dunia pada 12 Julai 2004.