NATIONAL MASTERCRAFTSMEN
ADIGURU KRAF TEKATAN BENANG EMAS
HAJAH AZIZAH BINTI MOHAMAD YUSOF
Nama : Hajah Azizah binti Mohamad Yusof
Bidang Kraf : Textile
Adiguru Kraf : Tekatan Benang Emas
Negeri : Perak
Tarikh Lahir : 14 Ogos 1938
Lantikan Adiguru Kraf : Tahun 1995
Lantikan Tokoh Kraf Negara : Tahun 2018
Beliau mahir menghasilkan seni tekatan yang halus dengan menggunakan 2 hingga 7 helai lembar benang emas. Kreativiti beliau terserlah dalam penghasilan motif dan reka corak yang diinspirasikan daripada flora dan alam semulajadi seperti bunga genggam Siti Fatimah, bunga padi, bunga kekwa, paku pakis, pucuk rebung, awan larat dan tulisan khat yang disesuaikan mengikut fungsi produk dan kehendak pelanggan
Tokoh Tekatan Benang Emas yang tersohor, Azizah binti Mohamad Yusof dilahirkan pada 14 Ogos 1938 di Kuala Kangsar, Perak. Mahir menghasilkan tekatan benang emas menggunakan pelbagai teknik tekatan dengan olahan motif reka corak tradisional dan moden. Antara reka corak dan motif yang dihasilkan ialah paku-pakis, pucuk rebung, sulur bayung, bunga padi, anggerik, asam batu, bunga raya, bunga kemboja, bunga mawar, awan larat serta tulisan khat. Beliau turut memiliki kepakaran menghasilkan beberapa jenis tekatan lain, iaitu tekat gubah, tekat tindih dan tekat labuci. Kemahiran beliau diiktiraf dalam kalangan institusi diraja melalui penghasilan pelbagai kelengkapan majlis pertabalan dan keramaian. Beliau dilantik sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas pada tahun 1995 dan dianugerahkan sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 2018.
The renowned Master of Gold Thread Embroidery, Azizah binti Mohamad Yusof, was born on 14 August 1938 in Kuala Kangsar, Perak. She is a maestro in the art of golden thread embroidery through the application of a myriad of embroidery techniques and the adoption of traditional and modern motif designs. Among the designs and motifs infused are such as the ferns, bamboo shoots, vine tendrils, paddy flower, orchids, asam batu, hibiscus, frangipani, roses, meandering clouds and Islamic calligraphy (khat). She is also a virtuoso who mastered a multitude of embroidery techniques, including the gubah embroidery, tindih embroidery and labuci (beads) embroidery. Her mastery was acknowledged by the royal institution as she was entrusted with the production of various paraphernalia for coronation ceremonies and royal celebrations. She received the conferment as a Master Craftsman of Golden Thread Embroidery in 1995 and was awarded the title of National Master Craftsman in 2018.
Kehalusan kerja tangan dan ketelitian Hajah Azizah dalam seni kraf tekatan ini sering mendapat perhatian dan tempahan daripada pihak istana. Beliau pernah menerima tempahan daripada keluarga Diraja Negeri Perak, tempahan kelengkapan perkahwinan dari Istana Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan lain-lain negeri, tidak kurang juga tempahan dari negara luar seperti Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Brunei dan Singapura.
Sepanjang penglibatan Hajah Azizah dalam seni kraf tekatan, pelbagai anugerah dan pengiktirafan pernah diterima di atas usaha gigih beliau dalam memastikan seni kraf tekatan ini dipelihara dan dimajukan. Beliau telah dilantik sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 1995 dan 2006, menerima darjah kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 2009 dan Anugerah Tokoh Usahawan Wanita Kuala Kangsar pada tahun 2010. Dengan ketokohan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang seni kraf tekatan, Kerajaan Malaysia melalui Kraftangan Malaysia telah mengiktiraf beliau sebagai Tokoh Kraf Negara pada tahun 2018.











